
Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali
KUALA LUMPUR,28 September – Timbalan Perdana Menteri,Datuk Amar Fadillah Yusof berkata,keprihatinan,kesederhanaan dan ketokohan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan sentiasa dikenang sebagai sebahagian daripada sejarah serta perjalanan pembangunan negara.
RINGKASAN BERITA AI
−
Menerusi hantaran di Facebook,beliau berkata Allahyarham merupakan sumber kekuatan kepada keluarga,selain terus memberi bakti kepada masyarakat dan negara.
Katanya,Allahyarham sentiasa berada di sisi Tun Dr Mahathir melalui pelbagai detik dalam kehidupan dan perjuangan beliau.
“Saya masih teringat Tun Siti Hasmah bermain biola pada majlis itu. Pada usia 100 tahun,Tun Siti Hasmah masih hadir bersama kami. Kenangan itu akan terus saya simpan,” kongsi beliau yang merujuk pertemuan pada Sambutan Hari Wanita Kebangsaan anjuran NCWO awal bulan ini.
Sementara itu,Menteri Belia,Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak,Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga,malah rakyat Malaysia.
Beliau berkata,sumbangan Allahyarham sebagai tulang belakang kepada Tun Dr Mahathir amat besar sepanjang tempoh kepimpinan beliau menerajui negara.
“Ini adalah satu kehilangan besar bukan saja kepada keluarga ataupun suami dan anak-anak Tun Mahathir tetapi juga rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sarawak National Sport Integrity Conference (SNSIC) 2026 di Kuching hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga dan anak-anak Allahyarham.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN),Kuala Lumpur,pada usia 100 tahun pagi Isnin.