
Gambar hiasan /RTM
KUALA LUMPUR,20 September – Langkah kerajaan memperluaskan perlindungan bil elektrik kepada pengguna domestik dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt jam (kWj) sebulan dilihat mampu memberi ruang tambahan kepada kuasa beli isi rumah,khususnya ketika tekanan kos sara hidup masih dirasai.
RINGKASAN BERITA AI
−
Menurut Prof Dr Ahmed Razman,langkah berkenaan turut memberi manfaat kepada kira-kira lapan juta pengguna domestik,sekali gus meliputi sebahagian besar isi rumah yang penggunaan elektrik mereka meningkat akibat cuaca panas.
Bagaimanapun,beliau menyifatkan perlindungan itu sebagai bantuan sementara dan bukan penyelesaian struktur kepada isu kos sara hidup kerana ia hanya berkuat kuasa sehingga akhir Disember.
Beliau berkata,pengguna perlu memanfaatkan tempoh perlindungan berkenaan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik bagi mengurangkan kesan apabila struktur caj kembali berkuat kuasa.
“Pengguna perlu lebih bersedia dengan meningkatkan kecekapan penggunaan elektrik,terutama penggunaan pendingin hawa,pemanas air dan peralatan elektrik berintensiti tinggi,” katanya.
Pada masa sama,beliau berkata kerajaan wajar menggunakan tempoh tersebut untuk menilai semula mekanisme perlindungan bil elektrik bagi tahun depan.
Katanya,tumpuan tidak seharusnya hanya kepada jumlah subsidi yang diberikan,sebaliknya memastikan bantuan disasarkan kepada isi rumah yang benar-benar memerlukan.
“Kewangan kerajaan dan kemampanan sektor tenaga perlu terus dipelihara supaya mekanisme perlindungan ini dapat dilaksanakan secara berterusan dan bersasar,” katanya.