
Foto X John Reimberg
BUENOS AIRES,20 September – Polis Ecuador merampas lebih 1.5 tan kokain dalam operasi pada waktu malam yang melibatkan penggunaan bahan letupan,kata Menteri Dalam Negeri John Reimberg pada Sabtu menerusi platform media sosial X,lapor Agensi Akhbar Jerman (dpa).
RINGKASAN BERITA AI
−
Reimberg menganggarkan nilainya bersamaan lebih AS$64 juta,manakala polis dalam satu kenyataan meletakkan nilainya pada AS$45 juta.
Polis menyifatkan rampasan itu sebagai “tamparan hebat terhadap kewangan dan struktur jenayah perdagangan dadah”.
Operasi itu dijalankan ketika perintah berkurung pada waktu malam yang dikuatkuasakan sejak beberapa hari lalu di beberapa wilayah Ecuador.
Kerajaan Presiden Daniel Noboa mahu memperhebat usaha memerangi kumpulan jenayah terancang.
Dalam tempoh dua hari pertama perintah berkurung,seramai 150 orang ditahan,kata Reimberg kepada saluran televisyen Teleamazonas.
Ecuador menjadi negara transit bagi kokain dari negara jiran seperti Colombia dan Peru.
Kurang dua minggu lalu,polis merampas lebih dua tan kokain di pelabuhan Machala yang disembunyikan dalam peti berisi pisang untuk dieksport ke Sweden.
Pada April tahun ini,penyiasat di Pelabuhan Hamburg menemukan kokain yang diseludup dari Ecuador dalam sebuah kontena berisi pisang.
Kokain bernilai kira-kira €30 juta (AS$34 juta) itu dibungkus dalam 1,600 bungkusan.- BERNAMA