
Foto RTM
ALOR SETAR,15 September – Geran Sejahtera MADANI sehingga RM5,000 perlu dimanfaatkan golongan B40,khususnya peniaga kecil,bukan sahaja untuk menambah pendapatan tetapi meningkatkan kualiti produk dan mengembangkan perniagaan.
RINGKASAN BERITA AI
−
Datuk Romli berkata,konsep pelaksanaan geran itu mengambil pendekatan program terdahulu,termasuk Program Satu Azam,namun ditambah baik bagi memastikan dana awam dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan sasaran.
Katanya,setiap permohonan yang diluluskan akan dipantau pegawai ICU menerusi lawatan ke premis peserta,selain membantu penerima mendapatkan peralatan dan barangan bersesuaian mengikut keperluan perniagaan.
Peserta juga perlu mengemukakan laporan hasil jualan serta gambar perkembangan perniagaan bagi membolehkan prestasi mereka dipantau secara berterusan dan mengelakkan berlakunya salah urus dana.
Sementara itu,Setiausaha Sekretariat Rakan Strategik Komuniti (STARTKOMPEN) MADANI Kedah,Muhamad Izuwan Iberahim berkata,inisiatif berkenaan turut menyediakan platform dalam talian bagi membantu memasarkan produk usahawan terbabit.
“Ini peringkat awal kita bersama dengan apa yang diumumkan Perdana Menteri menerusi Geran Sejahtera MADANI,dengan setiap peserta diberikan RM5,000 dalam bentuk barangan untuk membantu mereka berniaga dengan lebih baik.
“Kita juga menyediakan beberapa platform dalam talian seperti penjenamaan Anak Kuala untuk memasarkan produk mereka melalui TikTok Shop,” katanya.
Bagi golongan penjaja kecil pula,Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Kedah,Mohd Nazri Kamaruzzaman berkata,geran berkenaan berpotensi meningkatkan pendapatan peniaga antara 10 hingga 20 peratus.
“Sebenarnya lebih daripada 90% memang peniaga itu terdiri daripada golongan B40. Dan mereka ini sememangnya juga merupakan penerima STR (Sumbangan Tunai Rahmah). Mereka adalah ahli kita yang tersenarai dalam eKasih,” katanya.
Beliau menjangkakan kira-kira 19,000 ahli persatuan memperoleh manfaat daripada inisiatif berkenaan.
Sementara itu,seorang peniaga pasar malam,Mohd Fuad Saud berkata,bantuan berkenaan dapat meringankan beban peniaga kecil dalam mendapatkan barangan dan keperluan untuk menjalankan perniagaan.
“Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Perdana Menteri kita,yang menyalurkan inisiatif ini kepada kami peniaga kecil. Terima kasih banyak-banyak kerana membantu kami dalam
membeli barang-barang serta keperluan kami,” katanya kepada pemberita RTM.
Geran Sejahtera MADANI disasarkan membantu golongan B40,terutama penerima yang berdaftar dalam eKasih,meningkatkan pendapatan,berdikari dan seterusnya keluar daripada kemiskinan.
Inisiatif itu selaras dengan penekanan Kerajaan MADANI untuk membina keupayaan rakyat supaya tidak terus bergantung kepada bantuan kerajaan.
Pada Ogos lalu,Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM200 juta menerusi Geran Sejahtera MADANI bagi membantu penjaja,peniaga kecil,peniaga pasar malam serta ibu yang menjalankan perniagaan dari rumah.
Pelaksanaan geran itu berkuat kuasa mulai 1 September 2026.