Berita Pengangkutan

Hanya tiga badan halal Amerika Syarikat diiktiraf Malaysia - JAKIM

Nov 6, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Ketua Pengarah JAKIM,Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee

PUTRAJAYA,6 November - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa hanya tiga badan pensijilan halal dari Amerika Syarikat yang diiktiraf oleh Malaysia ketika ini.

Menurut Ketua Pengarah JAKIM,Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee,tiga badan berkenaan ialah Islamic Food and Nutrition Council of America (IFANCA),Islamic Services of America (ISA) dan American Halal Foundation (AHF).

Penjelasan itu dibuat susulan persoalan yang dibangkitkan dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di peringkat Jawatankuasa.

Dr Sirajuddin berkata,ketiga-tiga badan tersebut mendapat pengiktirafan sebelum termeterainya Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia–Amerika Syarikat (ART) dan kekal komited melaksanakan pensijilan halal mengikut Piawaian dan Standard Halal Malaysia yang berkuat kuasa.

“Sekiranya terdapat pelanggaran atau ketidakpatuhan dalam pelaksanaan pensijilan halal oleh mana-mana badan berkenaan,JAKIM akan mengambil tindakan tegas termasuk penarikan balik pengiktirafan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Langkah itu,jelasnya,penting bagi mengelak sebarang implikasi terhadap pengeluaran,pengedaran dan eksport produk halal Malaysia.

JAKIM turut menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan pensijilan halal antarabangsa dilaksanakan dengan integriti tinggi,demi menjaga reputasi dan kepercayaan terhadap produk halal Malaysia di peringkat global.