Pelarasan tarif AS, pintu rundingan masih terbuka

Jul 11, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Setiausaha Negara AS,Marco Rubio,bercakap pada Persidangan Pasca Menteri ASEAN dengan AS sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,10 Julai -Pintu rundingan berhubung pelarasan tarif masih terbuka,demikian dinyatakan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS),Marco Rubio.

Menurut Rubio,perbincangan aktif sedang dijalankan bersama beberapa negara,termasuk dari rantau Asia Tenggara.

“Kami ingin memaklumkan kadar tarif balas akan bermula pada 1 Ogos. Namun,perbincangan akan diteruskan minggu hadapan bersama Jepun,dan rundingan sedang berjalan dengan hampir semua negara yang hadir di sini. Ini adalah rakan kongsi penting,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58,di sini,hari ini.

Tambah Rubio,AS telah pun mencapai kemajuan dalam rundingan bersama Vietnam dan United Kingdom. Beliau turut optimis perkara sama akan berlaku dengan beberapa negara lain dari semasa ke semasa.

Tambah beliau,lebih 6,000 syarikat dari AS telah melabur di rantau ini,sekali gus menjadikan Asia Tenggara sebagai rakan strategik penting dalam aspek ekonomi dan pertahanan.

Sementara itu,beliau turut memaklumkan Presiden AS,Donald Trump,dijangka menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN yang bakal berlangsung di Malaysia pada Oktober ini. Pihaknya sedang berusaha menetapkan tarikh kehadiran Trump bagi sidang berkenaan.

"Kemungkinan besar,ya. Kami sedang berusaha menetapkan tarikhnya,” kata Rubio.

Sebelum ini,Menteri Luar,Datuk Seri Mohamad Hasan,mengesahkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Khas tersebut.