Berita Pengangkutan

Deepavali disambut meriah, penuh warna-warni, semarak keharmonian

Oct 31, 2024 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR,31 Oktober - Perayaan Deepavali yang juga dikenali sebagai Diwali diraikan dengan penuh meriah dan warna-warni hari ini dengan penganut agama Hindu di Malaysia seawal pagi mula membanjiri kuil di kawasan masing-masing bagi menyempurnakan upacara keagamaan.

Kemeriahan Pesta Cahaya lebih bermakna dengan seluruh negara 'diterangi' sambutan yang menyemarakkan keharmonian dan perpaduan rakyat apabila segenap lapisan masyarakat tanpa mengira kaum turut berkongsi kegembiraan meraikan perayaan berkenaan.

Di Perak,kira-kira 5,000 penganut agama Hindu mengunjungi Kuil Kallumalai Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh,Ipoh seawal 6 pagi tadi untuk menyempurnakan upacara keagamaan.

Setiausaha Kehormat kuil berkenaan V. Thiagarajan berkata sambutan Deepavali tahun ini lebih meriah daripada tahun sebelumnya dengan pelbagai pakaian berwarna-warni yang digayakan.

Sementara itu,Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menerusi ucapan di Facebook berkata sambutan Deepavali mengingatkan semua pihak betapa pentingnya persaudaraan dan perpaduan antara kaum dan agama yang merupakan kekuatan sebenar Malaysia.

Di Melaka,perayaan Deepavali disambut meriah termasuk di Kuil Sri Karumarriamman Alayam,Paya Rumput Perdana yang menyaksikan ratusan penganut agama Hindu mula berkumpul sejak 7 pagi untuk bersembahyang.

R. Malini,46,dari Taman Muzaffar Syah,Ayer Keroh berkata beliau bangun seawal 5.30 pagi untuk dimandikan dengan minyak oleh ibunya S. Shanta Devi,73,sebelum bersiap-siap ke kuil bersama ahli keluarga.

"Kebiasaannya,ibu saya yang akan memandikan ahli keluarga dengan minyak,bermula dengan cucu dan diakhiri dengan anak-anaknya. Ibu juga sejak awal pagi telah memasak pelbagai juadah untuk dihidangkan kepada tetamu yang berkunjung hari ini," katanya.

Di Johor,kuil tertua di negeri itu yang berusia 107 tahun,Kuil Arulmigu Thandayuthapani di Jalan Kuel,Wadi Hana terus menjadi tumpuan masyarakat Hindu bagi menyempurnakan upacara keagamaan sempena Deepavali dan hadir menggayakan pakaian berwarna-warni.

Walaupun dalam proses pengubahsuaian,Pengerusi Kuil G Meganathan menjangkakan lebih 1,000 penganut agama Hindu akan hadir bagi program keagamaan hari ini sebelum masing-masing meneruskan sambutan dengan aktiviti lain seperti berkumpul bersama keluarga.

Di Negeri Sembilan,seramai 6,000 penganut agama Hindu dijangka mengunjungi Kuil Sri Bala Thandayuthapani di Seremban yang merupakan antara kuil tertua di negara ini.

Presiden Kuil Sri Bala Thandayuthapani Kapt (B) VR. Parameswaran berkata sempena perayaan Deepavali,kuil berkenaan dibuka untuk dua sesi dengan yang pertama bermula 7 pagi sehingga 12 tengah hari tadi diikuti sesi kedua bermula 7 malam hingga 9.30 malam.

Jayandran Maniban,55,dari Felda Palong di Jempol yang terletak kira-kira 90 kilometer dari Seremban berkata sudah menjadi rutin keluarganya untuk bergerak awal pagi ke kuil berkenaan bagi bersembahyang selain berkumpul meraikan Deepavali bersama penganut agama Hindu lain.

"Saya juga membawa pekerja,perayaan jadi lebih seronok,saya dapat membawa ahli keluarga di sini,mengambil gambar,semoga Deepavali ini memberikan kesejahteraan kepada kami semua," katanya yang merupakan seorang kontraktor.

Di Selangor,kemeriahan Diwali dapat dirasai dengan masyarakat beragama Hindu yang hadir ke Kuil Sri Maha Maariamman Devasthanam di Shah Alam kelihatan segak dan menawan mengenakan pakaian tradisional masing-masing.

Sambutan turut dimeriahkan dengan penganjuran rumah terbuka oleh Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau yang turut dihadiri antaranya Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh,Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Ganabatirau berkata penganjuran rumah terbuka yang diadakan secara tahunan itu bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan di antara kepimpinan kerajaan negeri dan persekutuan di samping berkongsi kemeriahan perayaan itu bersama masyarakat berbilang bangsa di Selangor.

Sementara itu,di Perlis menyaksikan Kuil Arulmigu Arumugaswamy Dhevasthanam di Kangar menjadi tumpuan penganut agama Hindu di negeri itu yang hadir sejak 7 pagi tadi bagi menyempurnakan upacara keagamaan.

K. Kalai Selvian 23,yang ditemui selepas mengunjungi kuil berkenaan tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya berpeluang pulang menyambut Deepavali bersama keluarga di Kangar selepas gagal berbuat demikian pada tahun lepas kerana komitmen kerja di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu,di Kuala Lumpur,Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ketinggalan hadir menyertai ribuan rakyat memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 yang diadakan di Sentul hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,Menteri Digital Gobind Singh Deo,Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil serta menteri-menteri dan timbalan menteri.

Orang ramai pula dilihat memanfaatkan cuti umum sempena sambutan Deepavali dengan mengunjungi beberapa kawasan tarikan pelancong dan mercu tanda terkenal di sekitar ibu negara antaranya di sekitar KLCC,Bukit Bintang,Jalan Pudu dan juga Dataran Pahlawan.

Tinjauan di beberapa pusat beli belah di ibu kota pula mendapati orang ramai mengambil peluang untuk membeli-belah kerana terdapat tawaran istimewa dan diskaun sempena perayaan Deepavali.

Di Terengganu,sambutan Deepavali disambut secara sederhana oleh masyarakat Hindu dengan dimulakan upacara mandi minyak bijan pada waktu pagi sebelum matahari terbit.

Penjawat awam D. Punithavalli,39,berkata upacara itu bermula dengan ahli keluarga yang paling tua akan menyapu minyak ke atas kepala setiap ahli keluarga.

“Selesai upacara itu,kami pergi ke kuil untuk melaksanakan upacara sembahyang dan apabila pulang ke rumah,kami menikmati juadah seperti tosai,idli,laddu dan banyak lagi,” katanya.

Punithavalli berkata meskipun masyarakat India merupakan golongan minoriti di negeri ini,namun kemeriahan sambutan Deepavali tetap dirasai dengan kunjungan jiran-jiran dan rakan-rakan daripada pelbagai bangsa ke rumah mereka.

Di Sarawak,perayaan Deepavali juga disambut sederhana namun bermakna meskipun penganut Hindu di negeri ini tidak begitu ramai.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat mengambil peluang mengunjungi dua rumah terbuka anjuran Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dan peguam Shankar Ram sempena Pesta Cahaya hari ini.

Sementara itu di Pulau Pinang,Ketua Menteri Chow Kon Yeow dalam perutusan sambutan Deepavali mengajak seluruh keluarga Pulau Mutiara menghayati nilai kasih sayang,hormat-menghormati,perpaduan dan keharmonian yang perlu diperkukuhkan dalam hubungan kekeluargaan serta komuniti.

Beliau berharap sinar Deepavali akan sentiasa menerangi perjalanan ke arah mencapai visi Penang2030 dan Malaysia MADANI bagi memastikan segala perancangan serta pembangunan di negeri itu dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana pihak termasuk kaum India.

Chow turut menyatakan komitmen kerajaan negeri untuk meneruskan inisiatif dan insentif dalam memperkasakan kaum India menerusi penambahan peruntukan geran tahunan Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang daripada RM1.5 juta kepada RM2 juta pada tahun akan datang.- BERNAMA