Berita Pengangkutan

Subsidi diesel antara yang dibincang dalam pramesyuarat Dewan Rakyat

Jun 24, 2024 IDOPRESS

Foto hiasan

PUTRAJAYA,23 Jun- Isu berkaitan penyasaran subsidi diesel antara perkara yang dibincangkan dalam pramesyuarat bagi persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang bermula esok hingga 18 Julai.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata,turut dibincangkan beberapa perkara berkaitan rang undang-undang (RUU) yang akan dibahaskan semasa sidang Parlimen.

"Ini mesyuarat pre-council yang biasa untuk setiap sidang Parlimen. Sudah tentu diberikan taklimat berkenaan isu-isu semasa,beberapa pembentangan RUU.

"Yang paling penting adalah penyasaran subsidi diesel,diberikan penerangan dan sebagainya kepada ahli-ahli Parlimen supaya mereka bersedia dalam perbahasan nanti di Parlimen dan juga apa agenda perundangan kita termasuklah beberapa pindaan undang-undang dan sebagainya",katanya pada sidang media Majlis Penutup Program Pendidikan Kepimpinan Politik Anjuran Wanita DAP di Putrajaya.

Terdahulu,beberapa Ahli Parlimen Kerajaan Perpaduan hadir ke Mesyuarat Pre-Council yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,pukul 4.00 petang tadi.

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 bakal berlangsung esok sehingga 18 Julai.