
Foto janaan AI berkenaan situasi geopolitik global. Penganalisis Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya,Collins Chong Yew Keat (foto kecil)/ RTM
KUALA LUMPUR,3 November – Malaysia boleh mengambil iktibar daripada pengalaman negara lain dalam memperkukuh pelan kesiapsiagaan bagi menghadapi ketidaktentuan geopolitik global.
RINGKASAN BERITA AI
−
Katanya,rakyat tidak seharusnya menyamakan potensi ancaman dengan krisis yang sedang berlaku sehingga mencetuskan kebimbangan atau tindakan berlebihan.
“Saya rasa rakyat Malaysia tidak perlu panik kerana kita perlu bezakan antara ancaman yang berpotensi berlaku dengan ancaman yang benar-benar sedang berlaku.
“Perkembangan global memang semakin mencabar,tetapi ini tidak bermakna Malaysia sedang menghadapi krisis keselamatan atau kekurangan bekalan makanan yang memerlukan tindakan kecemasan.
“Kita sekarang tidak berada dalam keadaan darurat yang memerlukan stok makanan secara kecemasan,” katanya ketika dihubungi RTM,hari ini.
Bagaimanapun,beliau berkata Malaysia tetap terdedah kepada risiko tidak langsung susulan ketidaktentuan geopolitik,termasuk gangguan rantaian bekalan,kenaikan kos tenaga,laluan perdagangan antarabangsa serta ancaman keselamatan siber.
Sehubungan itu,beliau menyifatkan langkah kerajaan memperkukuh penyelarasan menerusi Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara,termasuk penglibatan kementerian,agensi keselamatan dan institusi kewangan,sebagai pendekatan strategik dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara.
Menurutnya,usaha berkenaan perlu disokong pemantauan yang lebih menyeluruh dan bersepadu,selain pengujian sistem serta pelan kesinambungan perkhidmatan penting bagi memastikan operasi negara terus berfungsi sekiranya berlaku sebarang krisis.
“Keberkesanan perlu terus dipastikan melalui penyepaduan pemantauan yang lebih menyeluruh,komprehensif dan bersepadu,termasuk ujian sistem serta pelan kesinambungan perkhidmatan penting.
“Semua itu perlu,namun kita harus kekal tenang dan meneruskan kehidupan seperti biasa,” jelasnya.
Tambah beliau,pengalaman negara lain boleh dijadikan panduan dalam merangka pelan kesiapsiagaan yang lebih menyeluruh bagi menghadapi sebarang potensi ancaman,tanpa menjejaskan kestabilan sistem bekalan negara.
Justeru,rakyat disaran mengambil pendekatan berwaspada dan bertanggungjawab dengan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi serta mengelakkan pembelian barangan keperluan secara berlebihan.