Berita bertemu

Tiada kompromi majikan, pengurus projek gagal mematuhi undang-undang - JKKP

Dec 6, 2024 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

JKKP melakukan Operasi Tapak Pembinaan (OTP) secara mengejut di Cyberjaya

CYBERJAYA,5 Disember- Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana majikan atau pengurus projek yang gagal mematuhi perundangan dan tanggungjawab dalam memastikan semua tapak pembinaan berada dalam tempat selamat.

Sehubungan itu JKKP telah memeriksa 475 tapak pembinaan menerusi tiga operasi tapak pembinaan (OTP) sepanjang tahun ini di seluruh negara.

Ketua Pengarah JKKP Mohd Hatta Zakaria berkata,kepatuhan pihak majikan terhadap peruntukan perundangan dan garis panduan pengoperasian tapak pembinaan adalah baik.


"Fokus utama operasi adalah memantau aktiviti di tempat kerja dan aktiviti mengangkat khususnya skop yang berisiko tinggi seperti bekerja tempat tinggi,kerja mengangkat dan kerja konkrit.

"Pada tahun 2023,sebanyak 1,144 yang jatuh dari tempat tinggi dilaporkan kepada jabatan kami. Antara penyebab tertinggi adalah persekitaran yang tidak selamat seperti tepian terbuka,lubang terbuka tidak dihadang dan tidak memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE)",katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Operasi Tapak Pembinaan (OTP) secara mengejut di sini.

Daripada jumlah tersebut,498 Surat Arahan,416 Notis Larangan,187 Notis Perbaikan,102 Notis Sita,103 Cadangan Kompaun dan 9 cadangan pendakwaan dikeluarkan.

OTP yang dilaksana secara berfasa bermula OTP 1 pada 27 Februari sehingga 6 Mac lalu; memfokuskan pemeriksaan aktiviti kerja di tempat tinggi dan kerja mengangkat.

Sementara itu OTP 2 bermula pada 2 September hingga 13 September lalu memfokuskan sejauh mana kepatuhan majikan terhadap Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.

Manakala,OTP 3 yang dilaksanakan pada 25 November hingga 29 November lalu memfokuskan Pengetahuan Am Peraturan-peraturan (Kerja Pembinaan).

Pelaksanaan operasi itu bagi mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan serta meningkatkan pematuhan keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan.

Sekali gus,mengurangkan kadar kecederaan dan maut dalam kalangan pekerja.

"Penguatkuasaan berterusan untuk membanteras isu keselamatan dan kesihatan untuk memastikan kejadian kemalangan dalam industri pembinaan dapat dikurangkan.

"Selain dapat memastikan setiap pekerja dan majikan mengambil tanggungjawab masing-masing untuk memastikan setiap pekerja datang dalam keadaan selamat,bekerja dalam persekitaran selamat dan sihat,balik jumpa keluarga dalam keadaan selamat dan sihat setiap hari," katanya lagi.