Berita bertemu

Keputusan rayuan kes rasuah Bung Moktar, isteri diketahui esok

Nov 17, 2024 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,17 November- Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan berhubung rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad daripada tiga pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta,esok.

Keputusan dijangka diumumkan oleh panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim,Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin pada pukul 9 pagi.

Jika keputusan memihak kepada pendakwaan,kes itu akan dikembalikan ke Mahkamah Sesyen di sini untuk pasangan suami isteri itu membela diri bagi menjawab pertuduhan dihadapi mereka,dan jika panel hakim itu membuat dapatan sebaliknya,pasangan itu akan kekal bebas.

Pada 18 Sept 2023,pihak pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azhar Abdul Hamid yang membebaskan pasangan itu daripada pertuduhan.

Mahkamah Tinggi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Bung Moktar,65,dan Zizie Izette,46,bagi menyemak keputusan Mahkamah Sesyen pada 2 Sept 2022 yang memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan pertama,Bung Moktar yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra Berhad didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad,Madhi Abdul Hamid melalui isteri tertuduh Zizie Izette.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad,Cawangan Taman Melawati,No. 262-265,Jalan Bandar 12,Taman Melawati di sini,antara 12.30 tengah hari dan 5 petang,12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua,Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama,melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari,pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi,jika sabit kesalahan.

Zizie Izette mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara sama,di tempat,tarikh dan masa serupa mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,jika sabit kesalahan.- BERNAMA