Berita Pelancongan

Perangi keganasan tanpa kompromi, pertahan demokrasi – Erdogan

Jul 18, 2026 IDOPRESS

Recep Tayyip Erdogan/ ISLAM CHANNEL

LONDON,17 Julai – Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyifatkan keamanan,keselamatan dan kemakmuran dunia hanya dapat dicapai melalui perjuangan yang tegas dan tanpa kompromi terhadap semua organisasi pengganas tanpa sebarang pilih kasih,selain kerjasama antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI

“Sebagai sebuah negara yang kehilangan 253 anak bangsa syahid akibat tindakan pihak yang cuba merampas kuasa pada malam 15 Julai,harapan utama kami kepada masyarakat antarabangsa ialah agar terus menyokong perjuangan sah Türkiye menentang keganasan,” tambahnya.

Pandangan itu dinyatakan susulan salah satu cubaan rampasan kuasa paling kejam dalam sejarah politik Turkiye berlaku tepat 10 tahun lalu,pada 15 Julai 2016.

Ia dirancang oleh rangkaian pengganas yang telah menyusup secara licik ke dalam institusi negara,cubaan rampasan kuasa itu bertujuan menjerumuskan Turkiye ke dalam kancah huru-hara berpanjangan serta menggadaikan masa depan negara.

“Dengan bangkit mempertahankan kemerdekaan dan masa depan negara bagi menentang pihak yang merancang rampasan kuasa,rakyat Turkiye membuktikan kepada seluruh dunia melalui keberanian mereka bahawa kehendak rakyat tidak akan sekali-kali dapat ditundukkan di bumi ini.

“Tidak syak lagi,kebijaksanaan,keberanian dan keteguhan rakyat Turkiye pada malam 15 Julai merupakan satu peristiwa yang tiada tandingan dalam sejarah demokrasi dunia,” jelas Erdogan.

Beliau menyifatkan pemberontakan khianat dilakukan FETO jauh melangkaui cubaan rampasan kuasa biasa; ia merupakan satu bentuk pencerobohan secara menyeluruh terhadap kedaulatan Turkiye.

Sasaran utama pihak yang melancarkan rampasan kuasa ialah institusi yang melambangkan kehendak rakyat dan kemerdekaan negara,iaitu Kompleks Presiden dan Perhimpunan Agung Kebangsaan Turkiye.

“Pada malam 15 Julai,saya menegaskan dalam kenyataan kepada umum bahawa saya tidak pernah mengiktiraf sebarang kuasa yang lebih tinggi daripada kuasa rakyat.

“Saya membuat kenyataan itu dengan penuh keyakinan bahawa rakyat Turkiye akan bangkit mempertahankan kehendak mereka sendiri.

“Benarlah,pada malam itu rakyat kami turun ke jalanan dengan penuh keimanan dan keazaman,enggan tunduk kepada penguasaan organisasi pengganas tersebut,” menurut coretan itu.

Pada malam berkenaan rakyat Turkiye berjaya menewaskan pihak yang cuba merampas kuasa sekali gus mengukir satu sejarah perjuangan kehendak rakyat yang akan dikenang dengan penuh kebanggaan oleh generasi akan datang.

Ia dipertaruhkan dengan nyawa demi mempertahankan kemerdekaan negara,pencapaian demokrasi dan kebebasan menentukan nasib sendiri.

Menurut  Erdogan,berinspirasikan keberanian rakyat,pihaknya bertindak pantas untuk menghapuskan segala kesan buruk akibat pemberontakan khianat tersebut.

“Kami segera melaksanakan pembaharuan struktur secara menyeluruh bagi menyingkirkan semua unsur antidemokrasi dalam institusi negara yang berpotensi mengancam sistem pemerintahan demokrasi melalui cara di luar proses politik.

“Seterusnya,kami mencapai pelbagai kejayaan penting menerusi operasi di dalam dan luar negara sebagai sebahagian daripada strategi membanteras organisasi pengganas lain yang kami hadapi.

“Akhirnya,kami melancarkan inisiatif Türkiye Bebas Keganasan (Terror-Free Türkiye),sekali gus membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh perpaduan dan solidariti negara.

“Proses ini,yang merupakan antara tonggak utama wawasan Century of Turkiye dengan izin Allah sedang bergerak teguh ke arah matlamatnya melalui pendekatan yang menyeluruh dan inklusif hasil dedikasi pasukan keselamatan serta sokongan pelbagai pihak dalam arena politik.

“Saya percaya kejayaan proses Turkiye Bebas Keganasan bukan sahaja akan membawa keamanan dan kesejahteraan kepada negara kami,malah turut menyumbang kepada kestabilan rantau ini,” luah  Erdogan.

Menerusi perjuangan menentang pihak yang bukan sahaja cuba merampas kuasa,malah menyasarkan kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara,Turkiye telah mengambil pelbagai langkah penting ke arah masa depan yang lebih sejahtera menerusi pelaksanaan projek dalam sektor tenaga,pengangkutan,kesihatan,pertanian,teknologi dan pertahanan.

Melalui Gerakan Teknologi Nasional Turkiye mencatat kemajuan besar dalam industri pertahanan,penerbangan dan angkasa lepas sepanjang sedekad lalu.

“Kami turut membangunkan sistem pengangkutan elektrik dan pintar,selain membuat pelaburan besar dalam sektor kesihatan dan pertanian sebagai menghargai pengorbanan rakyat.

“Dalam tempoh ini juga,kami berjaya menghasilkan pelbagai produk jenama nasional yang mendapat pengiktirafan dunia. Antaranya ialah kereta elektrik TOGG,pesawat pejuang nasional KAAN,kapal korvet nasional serta pesawat tanpa pemandu (UAV),” jelas Erdogan.

Dalam tempoh sedekad lalu,Turkiye turut muncul sebagai pemain yang berpengaruh dalam usaha menyelesaikan pelbagai krisis dan konflik di peringkat serantau serta global menerusi pendekatan dasar luar yang proaktif.

Di setiap wilayah yang dilanda krisis,Turkiye tidak pernah teragak-agak untuk memikul tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan dengan mempertahankan golongan yang tertindas serta pihak yang benar,bukannya mereka yang berkuasa.

Turkiye sentiasa menjadi suara kepada undang-undang antarabangsa,keadilan dan nilai kemanusiaan.

“Jika hari ini Turkiye dilihat sebagai sebuah negara yang pandangannya dihormati,sumbangannya diperlukan dan dirujuk dalam isu serantau serta global,di sebalik kejayaan itu ialah semangat rakyat kami yang sanggup mempertaruhkan nyawa demi mempertahankan kemerdekaan dan masa depan negara pada malam 15 Julai,” demikian nukilan Erdogan.- ISLAM CHANNEL