
Pengerusi KNKV Group,Datuk Seri Dr. Zurainah Musa
KUALA LUMPUR,6 Disember- Perkembangan ekonomi pencipta kandungan kini muncul sebagai trend utama dalam landskap perniagaan digital,sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan tempatan untuk mempromosikan produk secara lebih kreatif dan berkesan.
Pengerusi KNKV Group,Datuk Seri Dr. Zurainah Musa berkata fenomena itu didorong oleh keperluan untuk bertindak pantas dalam memasarkan produk,selari dengan perubahan tingkah laku pengguna masa kini.
Menurutnya,berbeza dengan era terdahulu yang bergantung pada akhbar atau risalah,ekonomi pencipta kandungan hari ini menuntut kepantasan dalam menghasilkan dan menyiarkan kandungan.
“Kalau kita lihat produk dan perkhidmatan yang ada sekarang,kebanyakannya sudah setanding,ada yang lebih baik sedikit,ada yang kurang sedikit.
Tetapi,apa yang menjadikannya laris ialah kandungan,kreativiti,cara pemasaran dan yang paling penting sekali,kepantasan,” katanya selepas Persidangan Perang Perniagaan Digital dan Kecerdasan Buatan 2026,di sini.
Tambahnya,syarikat perniagaan dan pembangun kandungan juga digalakkan berkolaborasi bagi membolehkan produk tempatan mendapat pendedahan lebih luas khususnya bagi syarikat yang mempunyai bajet pemasaran terhad.
Ini memandangkan tidak semua syarikat mempunyai kepakaran dalam setiap aspek pemasaran,justeru lebih wajar usaha itu diserahkan kepada pihak yang mahir agar perniagaan dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan dan jualan produk.
Dengan perkembangan pesat ekonomi pencipta kandungan,beliau percaya usaha sama strategik antara syarikat dan pencipta kandungan akan terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh kehadiran produk tempatan di pasaran digital.