Berita Pelancongan

Malaysia, India mahu perkukuh hubungan dua hala ke tahap lebih strategik

Oct 23, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

FOTO MEDIA SOSIAL X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR,23 Oktober-Malaysia dan India berhasrat memperkukuh hubungan dua hala ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dinyatakan menerusi panggilan telefon yang diterima daripada rakan sejawatnya,Perdana Menteri India Narendra Modi malam tadi bagi membincangkan usaha berkenaan.

"India kekal sebagai rakan penting Malaysia dalam bidang perdagangan dan pelaburan,selain menjalin kerjasama erat di sektor teknologi,pendidikan serta keselamatan serantau," katanya menerusi hantaran di laman sosial X.

Kedua-dua pemimpin turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Narendra Modi memaklumkan akan menghadiri sidang berkenaan secara dalam talian memandangkan perayaan Deepavali masih diraikan di India pada waktu tersebut.

Anwar menghormati keputusan itu dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India.

"Malaysia akan terus komited memperkukuh hubungan Malaysia–India dan meningkatkan lagi kerjasama ASEAN–India ke arah rantau yang lebih aman dan makmur," katanya lagi.