Belanjawan 2026 bukti komitmen kerajaan perkasa golongan muda

Oct 15, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan,Muhammad Kamil Abdul Munim/RTM

KUALA LUMPUR,15 Oktober – Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen kerajaan memperkenalkan pendekatan ekonomi baharu bagi memperkasa rakyat,khususnya golongan muda.

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan,Muhammad Kamil Abdul Munim,berkata pelaksanaan dasar pendidikan percuma membuktikan kerajaan MADANI berupaya merealisasikan janji tersebut selaras dengan kemampuan kewangan semasa negara.

“Khususnya untuk golongan muda,walaupun ada pihak mempersoalkan kemampuan kerajaan melaksanakan pendidikan percuma,kerajaan membuktikan ia mampu direalisasikan berdasarkan kemampuan fiskal negara ketika ini,” katanya.

Langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim,ketika pembentangan Belanjawan 2026,bahawa kerajaan akan menanggung yuran pengajian 5,800 pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) daripada keluarga B40.

Inisiatif itu melibatkan peruntukan tahunan sebanyak RM120 juta melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula tahun depan.

Menurut Muhammad Kamil,Belanjawan 2026 turut memperkenalkan pelbagai insentif baharu termasuk pengecualian cukai yang ditawarkan tanpa mengira latar belakang sosial dan ekonomi penerima.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Muda ASEAN ke-10 di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC),di ibu negara.

Platform itu,katanya,membuka peluang kepada usahawan muda untuk memperluas rangkaian perniagaan dan meneroka potensi pasaran baharu di peringkat global.