Berita Pelancongan

Malaysia seru tindakan global untuk tangani kelaparan & kemiskinan

Nov 19, 2024 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim/ BERNAMA

RIO DE JANEIRO,18 November- Malaysia menyeru tindakan global yang mendesak untuk menangani kelaparan dan kemiskinan global.

Tegas Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim isu ini boleh ditangani dengan memberi penekanan kepada keperluan mengatasi ketidaksamaan ekonomi dan mereformasi sistem antarabangsa.

Cadangan itu dibuat Datuk Seri Anwar ketika menyampaikan pendirian Malaysia dalam sesi membasmi kelaparan dan kemiskinan pada Sidang Kemuncak G20.

Dalam ucapannya,beliau turut menekankan bagaimana ketidaksamaan ekonomi merampas akses banyak negara di selatan global kepada sumber asas dengan kelemahan tadbir urus dan rasuah memburukkan lagi keadaan.

“Rasuah menghakis sumber negara dengan menjejaskan golongan miskin dan terpinggir,keutamaan yang salah oleh negara-negara kaya memburukkan lagi isu ini",katanya.

Malaysia turut mengkritik pengagihan sumber global,dengan merujuk kepada pandemik COVID-19 sebagai contoh ketara.

“Pada tahun 2021,pakej kewangan sebanyak AS$650 bilion diumumkan untuk menyokong semua negara,tetapi dua pertiga daripadanya disalurkan kepada negara-negara kaya,meninggalkan hanya sedikit bantuan untuk negara-negara termiskin.

Tegasnya,kapitalisme boleh mendorong pertumbuhan,namun jika ia tidak terkawal boleh menjadi punca utama ketidaksamaan kekayaan yang melampau.

Malaysia mengulangi komitmennya terhadap Agenda 2030 Perikatan Global,dengan berazam untuk memerangi kelaparan dan kemiskinan melalui Kerangka Ekonomi MADANI.

Inisiatif ini memberi tumpuan kepada meningkatkan tadbir urus,mencapai kelestarian fiskal,memperkasa wanita,memajukan transformasi digital,dan menangani perubahan iklim.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025,Malaysia bersedia untuk mengetuai usaha pembinaan kapasiti untuk mengukuhkan daya tahan,mengurangkan kemiskinan,dan memperbaiki tadbir urus di seluruh rantau ini.

Malaysia mengakhiri ucapannya dengan menekankan kesan global dari usaha menghapuskan kelaparan dan kemiskinan.

“Perjuangan melawan cabaran ini adalah asas kepada pembangunan manusia. Dengan bekerjasama,kita boleh mencipta dunia di mana tiada sesiapa yang ketinggalan",katanya.

Seruan ini sejajar dengan usaha berterusan Malaysia untuk memastikan masa depan yang lebih adil dan mampan untuk semua.