Foto Hiasan
KUALA LUMPUR,29 Jun - Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka menyaksikan dagangan mendatar minggu depan berikutan faktor permintaan dan harga yang kekal tepu atau kurang memberangsangkan.
Pakar industri Dennis Low berkata krisis Laut Merah ketika ini terbukti memberi kesan dari segi menyebabkan aktiviti-aktiviti menambah stok simpanan yang perlahan selain turut memberi tekanan di peringkat dagangan global.
“Aktiviti lazim menambah stok simpanan akan terus berlaku manakala minat bagi tujuan pembelian stok berkaitan sebaliknya akan suram,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu,Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) berkata pada minggu baru berakhir,pasaran tempatan menyaksikan aliran penurunan yang seiring dengan pergerakan pasaran serantau.
Menurutnya,prestasi lebih rendah itu dijejaskan terutamanya oleh langkah Kesatuan Eropah (EU) mengenakan tarif import ke atas kenderaan elektrik China selain penurunan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) serta peningkatan harga minyak mentah.
Bagaimanapun,keadaan cuaca buruk yang diramalkan oleh Jabatan Meteorologi Thailand akan terus menjejaskan lengkungan stok bekalan komoditi itu dengan permintaan mempengaruhi pergerakan harga.
Selain itu,seorang peniaga berkata harga getah akan terus menjejaki prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau,pengukuhan ringgit berbanding dolar AS dan harga minyak mentah penanda aras dunia di tengah-tengah kebimbangan berkaitan permintaan China.
Beliau berkata peniaga akan turut memantau petunjuk ekonomi selanjutnya daripada negara kuasa besar ekonomi di tengah-tengah harapan menyaksikan lebih banyak langkah China selain perkembangan terkini berkaitan ketegangan tarif membabitkan Eropah dan China serta senario geopolitik di Timur Tengah.
Dalam pada itu,pasaran getah tempatan diniagakan kebanyakannya rendah pada minggu yang baru berakhir susulan prestasi pasaran niaga hadapan getah serantau yang lemah.
Bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat,harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 turun 12 sen kepada 785.5 sen sekilogram daripada 797.5 sen sekilogram minggu lepas manakala susu getah pukal susut 64.5 sen kepada 708 sen sekilogram daripada 772.5 sen sebelum ini.
Pada 5 petang,harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal adalah 782.5 sen sekilogram dan susu getah pukal pada 703.5 sen sekilogram.- BERNAMA