
Foto AFP
SANAA,2 November – Kumpulan Houthi di Yaman mengulangi ancaman terhadap kemudahan minyak syarikat gergasi Arab Saudi,Aramco serta sektor penerbangan negara itu susulan konflik yang kembali memuncak sejak Julai lalu.
RINGKASAN BERITA AI
−
Antara serangan paling buruk berlaku pada 10 Oktober lalu apabila serangan terhadap Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh mengorbankan sekurang-kurangnya 13 orang.
Pada Ahad,gabungan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas sebuah peluru berpandu dan dron yang dilancarkan Houthi ke arah wilayah selatan negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan,gabungan tentera itu berkata pihaknya melancarkan operasi tepat bagi memusnahkan sumber penting yang digunakan Houthi,selain menyiarkan rakaman video yang didakwa menunjukkan serangan di wilayah Hodeidah dan Dhamar.
Bagaimanapun,agensi berita Saba mendakwa Arab Saudi melancarkan dua serangan udara ke atas Fakulti Perubatan Universiti Hodeidah.
Dua penduduk Hodeidah yang ditemu bual AFP berkata mereka terdengar letupan di kawasan berkenaan.
Sementara itu,pertempuran di Yaman menyebabkan lebih 300,000 penduduk kehilangan tempat tinggal di bahagian barat negara itu,dalam tempoh dua bulan lalu.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata golongan berkenaan amat memerlukan bantuan segera termasuk tempat perlindungan,makanan,air bersih dan rawatan kesihatan.
Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),lebih 1,600 orang terbunuh sejak pertempuran di Yemen kembali memuncak.
Houthi yang merupakan sekutu Iran berperang menentang gabungan diketuai Arab Saudi bagi menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf antarabangsa.
Dalam perkembangan berasingan,Iran pada Ahad memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) dan Israel supaya tidak melancarkan semula serangan terhadap negara itu selepas kedua-duanya mengancam untuk kembali berperang. – AFP