Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
KUALA LUMPUR,18 Julai- Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 2024 yang bertujuan memartabatkanperanan pegawai pemulihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) diluluskan persidangan Dewan Rakyat,hari ini.
RUU dibentangkan Menteri Dalam Negeri (KDN),Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu diluluskan secara majoriti,dengan melibatkan perbahasan lebih 40 ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Saifuddin berkata,RUU berkenaan mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan AADK tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.
"Dengan lulusnya akta ini,kedudukan atau status pegawai pemulihan itu kita upgrade (naik taraf) iaitu mereka punya kuasa untuk memberikan perakuan setelah lakukan verifikasi terhadap klien yang datang secara sukarela untuk menerima program rawatan dan pemulihan.
"Kalau sebelum ini satu sahaja iaitu pegawai perubatan. Sekarang ini pegawai pemulihan boleh memperakukan setelah melakukan proses verifikasi.
"Akta ini juga tidak sama sekali mengenepikan peranan pegawai perubatan. Hakikatnya di AADK seluruh negara sekarang,sudah ada pegawai perubatan dan ada penolong pegawai perubatan," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.
Mengulas lanjut,Saifuddin berkata,RUU tersebut juga dapat memperluaskan akses rawatan dan pemulihan khususnya secara sukarela dalam kalangan penagih atau penyalahguna dadah dan bahan terlarang.
Beliau menambah,RUU tersebut kini dialihkan kepada nyahjenayah berbanding sebelum ini yang memberi penekanan kepada hukuman kepada pesalah dadah.
"Dengan penggemblengan ini,kami harap AADK dengan tugas hakiki untuk uruskan mereka yang terlibat dengan bahan,dadah atau penagihan itu dapat ditangani dengan jauh lebih efektif.
"Maksudnya mereka yang terlibat menagih atau menyalahguna bahan,kalau sebelum ini opsyennya satu (sahaja),iaitu pemenjaraan.
"Tetapi kali ini kita salurkan kepada rawatan dan pemulihan di bawah AADK. Bukan sahaja 30 AADK yang kita ada,tetapi juga ada pusat rawatan pemulihan dadah persendirian," ujar beliau.
Pindaan RUU berkenaan dibawa ke pembentangan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua pada 9 Julai lalu adalah kali pertama sejak 2004.