Foto Fail
KUALA LUMPUR,13 Julai- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan,selepas inflasi Amerika Syarikat (AS) mereda lebih daripada jangkaan sehinggakan mencetuskan harapan bahawa Rizab Persekutuan AS akan mula mengurangkan kadar faedah pada September,kata penganalisis.
Walaupun belum ada jaminan,harga emas lazimnya meningkat apabila kadar faedah menurun dan jatuh apabila kadar bertambah.
Dari Jumaat ke Jumaat,kontrak Julai 2024 naik kepada US$2,408.00 setiap auns troy berbanding US$2,370.50 setiap auns troy yang disaksikan semasa minggu sebelum ini,manakala Ogos 2024 melonjak kepada US$2,424.20 setiap auns troy daripada US$2,386.50 setiap auns troy.
Kontrak September 2024,Oktober 2024,Disember 2024 dan Februari 2025 masing-masing berakhir lebih tinggi pada US$2,386.50 setiap auns troy.
Jumlah dagangan menyusut kepada 21 lot berbanding 42 lot,manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 12 kontrak daripada enam kontrak.
Harga emas fizikal berada pada US$2,409.20 setiap auns troy,berdasarkan penetapan tengah hari London Bullion Market Association pada 11 Julai.- BERNAMA