Fahmi Fadzil melawat keluarga pempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri selepas menjadi mangsa buli siber,di Gombak Setia
KUALA LUMPUR,7 Julai-Isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorangpempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.
"Kita bukan hanya melaporkan apa berlaku tetapi mengambil tindakan terutama kalau kita perlu pinda akta dan apakah kelemahan yang ada sekarang. Masalah utama ialah ramai yang melakukan buli siber di sebalik akaun palsu.
"Salah satu daripada aduan yang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi terima daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah akaun-akaun yang terlibat dalam pelbagai aktiviti penyalahgunaan tetapi mereka berselindung di sebalik akaun palsu identiti individu yang mengeluarkan komen atau terlibat dalam penipuan sukar dikenal pasti dan sebagainya," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga seorangpempengaruh TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan berhadapan buli siber ketika upacara penghormatan terakhir buat mendiang di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gombak Setia.
Fahmiberkata keluarga pempengaruh itu telah membuat laporan polis dan pihak kementerian telah berhubung dengan TikTok yang menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama.
Beliau turut menasihatkan orang ramai termasuk penjawat awam supaya mengelakdaripada menjadi pembuli siber,sebaliknya terus mengekalkan adab dan budaya dalam menggunakan platform media sosial
Selain itu,pihaknya akan menimbangkan keperluan meminda akta sedia ada berkaitan buli siber,dan menegaskan bahawa individu yang terlibat dengan kes kematian pempengaruh itu akan dibawa ke muka pengadilan.
"Perkara ini dimaklumkan kepada Perdana Menteri semalam dan saya juga telah bercakap dengan Menteri Digital Gobind Singh Deo serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said. Kita mempunyai pendirian yang sama dalam isu ini dan akan bermesyuarat dalam beberapa hari lagi.
"Kesalahan-kesalahan bukan hanya dalam isu seperti mengaibkan atau menzahirkan maklumat peribadi yang merupakan satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi,jadi insya-Allah kita akan adakan pertemuan dan meneliti undang-undang sedia ada dan apakah langkah-langkah perlu kita ambil,” katanya.
Fahmi berkata pihaknya menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini yang mengingatkan rakyat agar tidak menjadikan media sosial sebagai platform untuk berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.