Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah memantau rapi kerja pembersihan 40,000 liter susu getah yang tumpah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) KM41.2 arah selatan dari Hutan Kampung ke Alor Setar
ALOR SETAR,2 Julai - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah sedang memantau rapikerja pembersihan 40,000 liter susu getah yang tumpah di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) KM41.2 arah selatan dari Hutan Kampung ke Alor Setar.
Ini selepas sebuah treler yang membawa muatan itu terbabas ke dalam parit di tepi jalan berkenaan,Sabtu lalu.
Pengarah JAS Kedah,Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya menerima aduan berhubung tumpahan itu melalui sistem e-aduan pada pukul 6.59 petang pada hari kejadian sebelum pegawai JAS ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Treler berkenaan dipercayai sedang membawa susu getah dari Thailand ke Pelabuhan Pulau Pinang," katanya menerusi kenyataan.
Sharifah Zakiah berkata,JAS pada hari kejadian telah mengarahkan pihak syarikat melantik kontraktor bagi melakukan kerja-kerja penyedutan sisa tumpahan susu getah dan kerja pembersihan yang lain.
"Kontraktor yang dilantik telah mula membuat kerja-kerja pengepaman keluar sisa susu getah yang bercampur air sejak semalam (Isnin) selepas kerja pengalihan treler selesai dilakukan sepenuhnya pada Ahad," katanya.
Setakat ini,kira-kira 36 tan susu getah telah dipam ke tiga buah lori dan kerja pembersihan dijangka selesai dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.