
Foto Fail AFP
BERLIN,26 Oktober – Tentera Jerman akan menyertai latihan ketenteraan pertama “Pakatan Negara-Negara yang Bersedia” bagi menyokong Ukraine,dengan menyediakan 10 pegawai staf,pesawat pengisi minyak dan sokongan logistik,menurut jurucakap Kementerian Pertahanan Jerman kepada Agensi Berita Jerman (dpa).
RINGKASAN BERITA AI
−
Menurut kementerian berkenaan,Angkatan Tentera Jerman (Bundeswehr) akan menyediakan sehingga dua pesawat pengangkut A400M bagi pembekalan bahan api di udara semasa latihan yang dikenali dalam bahasa Poland sebagai Koalicja 2026 (Pakatan 2026).
Pesawat berkenaan akan beroperasi dari Jerman.
Jerman juga akan menyokong pergerakan tentera melalui wilayahnya ke kawasan latihan dengan menyediakan perkhidmatan logistik,menurut kementerian itu.
Penubuhan pasukan berkenaan dipersetujui pada sidang kemuncak Ukraine di Berlin pada Disember 2025.
Presiden Perancis Emmanuel Macron mengisytiharkan pasukan itu beroperasi pada pertengahan Julai dan mengumumkan latihan awal akan dijalankan lewat tahun ini di negara jiran Ukraine.
Bagaimanapun,sejauh mana penglibatan penuh Jerman dalam pasukan pelbagai negara itu masih belum diputuskan.
Setiausaha Pertahanan Britain Wes Streeting merujuk kepada “ribuan” anggota tentera semasa lawatan ke Washington pada pertengahan Oktober.
Beberapa hari lepas,akhbar Britain The Times melaporkan seramai 1,500 anggota tentera Perancis,Britain dan Jerman akan mengambil bahagian bersama-sama pasukan tentera Poland. Bagaimanapun,angka berkenaan belum disahkan. – BERNAMA-dpa