Berita Hotel

IMF potong unjuran pertumbuhan Asia Barat akibat perang

Oct 13, 2026 IDOPRESS

Foto janaan AI/RTM

DUBAI,13 Oktober – Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bertindak memotong secara drastik unjuran pertumbuhan ekonomi bagi rantau Asia Barat dan Asia Tengah bagi tahun ini berikutan konflik peperangan berterusan yang merudumkan ekonomi serantau.

RINGKASAN BERITA AI

−

Menurut dapatan IMF,negara yang menerima impak paling teruk akibat gangguan laluan kapal dan halangan pengeluaran ialah Iraq,Kuwait,Qatar dan Bahrain,yang kesemuanya mengalami kerosakan pada fasiliti minyak masing-masing sepanjang konflik berlanjutan.

Negara berkenaan diunjur berdepan penguncupan ekonomi dua angka pada tahun 2026,sebelum dijangka mencatatkan pertumbuhan semula dua angka pada 2027 apabila aktiviti pengeluaran,eksport dan logistik kembali pulih.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Arab Saudi,negara pengeluar minyak terbesar dunia itu diunjur menguncup 3.3 peratus tahun ini,sebelum melonjak semula kepada 7.9 peratus pada tahun depan.

“Arab Saudi merupakan antara negara yang kurang terjejas berbanding jiran serantaunya kerana mempunyai kepelbagaian laluan eksport,terutamanya menerusi saluran paip minyak Timur-Barat yang merentasi ke pantai Laut Merah bagi memintas Selat Hormuz,” ujar IMF lagi.

Sementara itu,Emiriah Arab Bersatu (UAE) diunjurkan mengalami penguncupan ekonomi sebanyak 3.9 peratus,manakala Oman menjadi satu-satunya negara di Teluk yang dijangka kekal mencatatkan pertumbuhan positif pada kadar 2.4 peratus tahun ini.

IMF turut meramalkan KDNK Iran akan merosot sebanyak 7.6 peratus akibat kesan langsung peperangan,sekatan perairan serta sekatan ekonomi daripada AS.

Bagaimanapun,negara Arab yang lain diunjur kekal agak berdaya tahan dalam mendepani kejutan harga tenaga dan makanan pasaran global.- AFP