
Tung Chee-Hwa ketika mula-mula dilantik sebagai pemimpin Hong Kong selepas wilayah itu kembali bawah pemerintahan China pada 1997 – Foto AFP
HONG KONG,9 September – Tung Chee-hwa,pemimpin pertama Hong Kong selepas wilayah itu kembali bawah pemerintahan China,meninggal dunia pada usia 89 tahun.
RINGKASAN BERITA AI
−
Tung berperanan sebagai pengantara dalam tempoh peralihan Hong Kong daripada pemerintahan kolonial,termasuk ketika wilayah itu berdepan krisis kewangan Asia,wabak SARS serta tunjuk perasaan besar-besaran pada tahun-tahun awal yang bergolak bawah pemerintahan China.
Sementara itu,bekas Ketua Eksekutif Hong Kong,Leung Chun-ying,memuji peranan Tung dalam melaksanakan kerangka satu negara,dua sistem di Hong Kong serta menyifatkannya sebagai pemimpin yang amat dipercayai pemimpin China.
“Mendiang seorang yang baik hati dan pemurah serta mampu meyakinkan orang lain melalui hujah yang munasabah. Beliau menjadi teladan kepada kita semua,” kata Leung menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Tung dipercayai terpaksa memikul tanggungjawab sebagai pemimpin Hong Kong berikutan hubungan rapatnya dengan Beijing,dengan tempoh lapan tahun pentadbirannya dicemari kesilapan dasar serta kebimbangan terhadap campur tangan China.
Tahun-tahun awal pemerintahannya menyaksikan Hong Kong berdepan krisis kewangan Asia,kadar pengangguran tertinggi serta kejatuhan pasaran hartanah,yang memberi kesan besar kepada kehidupan rakyat.
Pentadbirannya turut berdepan kritikan susulan pengurusan kerajaan terhadap wabak selesema burung pada 1997 serta wabak SARS pada 2003 yang meragut banyak nyawa.
Cabaran paling besar berlaku pada Julai 2003 apabila kira-kira 500,000 orang mengadakan demonstrasi membantah undang-undang antikhianat yang dicadangkan China.
Kerajaan terpaksa menangguhkan rang undang-undang itu,namun perarakan pada 1 Julai bagi memperingati ulang tahun penyerahan Hong Kong menjadi acara tahunan sehingga 2020.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini,Tung semakin kurang muncul di khalayak.
Media tempatan turut melaporkan beliau tidak hadir pada upacara menaikkan bendera sempena ulang tahun penyerahan Hong Kong pada 1 Julai lalu. – AFP