
Foto Fail BERNAMA
HONG KONG,13 Oktober – Pasaran saham di Seoul,Tokyo dan Taiwan mengetuai kejatuhan indeks di seluruh Asia pada Selasa apabila syarikat teknologi merudum ekoran kebimbangan baharu berhubung prospek lonjakan pelaburan kecerdasan buatan (AI),ketika para pedagang bersiap sedia menghadapi musim pelaporan keuntungan dan pengeluaran data penting Amerika Syarikat (AS).
RINGKASAN BERITA AI
−
Di Jepun,Indeks Nikkei 225 turut merosot hampir tiga peratus berikutan kejatuhan saham pembuat cip Kioxia melebihi 12 peratus,manakala Tokyo Electron dan Advantest masing-masing jatuh lebih enam peratus.
Kemerosotan 1.8 peratus saham TSMC turut menyeret pasaran Taiwan turun lebih dua peratus,disusuli kerugian di Hong Kong,Shanghai,Sydney,Wellington dan Manila.
Kemerosotan di Asia menyusuli jualan ketara di Wall Street,New York iaitu saham SanDisk susut enam peratus manakala Micron Technology merosot 3.9 peratus.
Sentimen pasaran semakin terjejas berikutan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Broadcom,Hock Tan,yang membandingkan kehangatan pelaburan AI baru-baru ini seperti aktiviti perjudian.
“Ramai pelabur tidak mempunyai gambaran jelas mengenai apa yang mereka laburkan. Mereka meletakkan jangkaan yang sangat ekstrem seolah-olah berada di dalam kasino,” kata Tan.
Beliau turut memberi amaran bahawa industri berkenaan masih belum menemui model perniagaan yang mampan,sambil menyorot kerugian berbilion dolar yang dialami oleh syarikat pembangun ChatGPT,OpenAI.
Dalam pada itu,para pedagang terus memantau situasi di Asia Barat selepas siri letupan kuat menggegarkan Riyadh pada Isnin malam ekoran serangan berterusan Houthi ke atas lapangan terbang yang mengorbankan sekurang-kurangnya 18 nyawa.
Meskipun dua penanda aras utama minyak mentah merosot lebih satu peratus pada Selasa,harga minyak Brent kekal berada di atas paras $100 setong,sekali gus mengekalkan tekanan berterusan terhadap kadar inflasi global.- AFP