Berita Destinasi

MOT, CAAM perketat pemeriksaan juruterbang, petugas penerbangan

Sep 7, 2026 IDOPRESS

Foto RTM

KUALA LUMPUR,7 September Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memperketat pemeriksaan terhadap juruterbang,kru kabin dan petugas penerbangan lain susulan kes pembantu juruterbang Malaysia Airlines (MAS) yang dikaitkan dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI

Loke berkata MOT akan memberikan kerjasama penuh kepada polis termasuk menyediakan akses kepada kemudahan lapangan terbang serta sebarang maklumat atau petugas yang diperlukan bagi membantu siasatan.

“Siasatan adalah di bawah pihak polis. Mereka tidak mempunyai kewajipan untuk memaklumkan kepada kami atau berbincang dengan kami mengenai perkembangan siasatan,tetapi kami akan memberikan kerjasama dengan menyediakan apa sahaja maklumat atau akses yang diperlukan,sama ada kepada kemudahan atau lapangan terbang kami,termasuk mana-mana petugas yang mereka mahu temui atau siasat,” katanya.

Pada 4 Sept lepas,Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata polis menahan enam lelaki tempatan yang disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dikaitkan dengan penahanan pembantu juruterbang warga Malaysia di Jakarta pada Julai lepas.

Tangkapan itu susulan maklumat yang diperoleh daripada pembantu juruterbang berusia 39 tahun berkenaan ketika disoal siasat oleh pasukan JSJN yang dihantar ke Jakarta dari 11 hingga 15 Ogos.

Laporan media sebelum ini menyebut pembantu juruterbang itu ditahan di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup 25 kilogram dadah.

Polis Indonesia (POLRI) dilaporkan turut merampas 15 bungkusan mengandungi 70,114 pil ekstasi dan methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM45 juta.

Sementara itu,mengenai lencongan penerbangan susulan abu gunung berapi di Jakarta,Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata Malaysia membantu dengan menyediakan lapangan terbang alternatif bagi penerbangan yang asalnya menuju ke Jakarta.

“Bagi Malaysia,kami membantu mereka sebagai lapangan terbang alternatif. Jadi,beberapa pesawat yang menuju ke Jakarta dilencongkan ke KLIA dan kami menyokong mereka dalam hal itu,” katanya.