
Penggunaan pengesan logam akan diperluas di sekolah untuk mengawal pelajar daripada membawa telefon bimbit atau barangan larangan/ BERNAMA
MELAKA,8 Disember - Penggunaan pengesan logam akan diperluas di sekolah menengah dan rendah di Melaka bagi mengawal pelajar yang membawa telefon bimbit.
Exco Pendidikan,Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri,Datuk Rahmad Mariman berkata,langkah tersebut bagi mencegah pelanggaran isu disiplin dalam kalangan pelajar di sekolah.
"Kita minta semua sekolah-sekolah supaya ada membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan menggunakan metal detector dan kita ada 80 sekolah menengah di Melaka ini dan 43 telah melaksanakan pemeriksaan menggunakan metal detector dan selebihnya akan menggunakan cara sama.
"Kita sedar bahawa media sosial memang memberi pengaruh yang sangat besar kepada pelajar-pelajar,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas sidang Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri,hari ini.
Dalam pada itu,Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pendidikan Negeri Melaka telah menggariskan 13 langkah bagi menangani isu buli dan salah laku di sekolah.
Antaranya pemeriksaan mengejut di sekolah dan semua sekolah dipantau oleh pegawai daripada Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.
Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai saluran untuk memudahkan pelajar dan ibu bapa membuat aduan berkaitan isu buli termasuk Whatsapp Anti-Buli,Sistem Aduan Buli SISPAA dan peti aduan yang ditempatkan di setiap sekolah.