Berita Destinasi

MAIWP jadikan Santuni MADANI platform lahir pemimpin masa depan

Oct 27, 2024 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Foto Hiasan

ALOR GAJAH,27 Oktober- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menjadikan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) sebagai platform untuk melahirkan pimpinan negara yang mampu memberi impak kepada pembangunan ekonomi dan sosial.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP,Datuk Mohd Nizam Yahya berkata sebagai anak jati Kampung Balik Batu di Tanjung Bidara yang dipilih sebagai lokasi kampung angkat bagi program berkenaan,besar harapannya untuk melihat lebih ramai anak muda di tempat kelahirannya itu menjadi pemimpin berkaliber.

"Sebab itulah kita bawa pelbagai jentera termasuk pendidikan untuk pastikan tiada satu pun penduduk di kampung ini yang tercicir daripada mendapat limpahan pembangunan dan kemakmuran negara terutama dalam menerima maklumat,bantuan atau akses dalam pendidikan kerana sekarang ini,kita nak cari pimpinan dari Kampung Balik Batu ini,tidak ramai," katanya .

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) oleh Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh,yang turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Mohd Nizam berkata usaha menyantuni penduduk yang memerlukan bantuan,pihaknya akan melihat kepada pelbagai aspek bukan sahaja melibatkan kemiskinan tetapi juga perubatan,pendidikan dan keselamatan.

"Sebagai usaha berterusan,MAIWP akan turun padang pada setiap tiga bulan dengan membawa jentera yang diatur gerak,dengan memberi fokus antaranya pendidikan,perubatan dan keselamatan. Justeru,kita mengharapkan penduduk turut memberi kerjasama dan mengambil manfaat daripada semua program telah kita rancang ini," katanya.

Sementara itu,beliau berkata sejumlah RM101,000 telah diserahkan oleh MAIWP sebagai bantuan dan sumbangan kepada masjid,sekolah,Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (Japerun),pelajar sekolah dan asnaf di kampung berkenaan.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata pemlihan kampung didiami kira-kira 2,100 penduduk yang rata-ratanya menjalankan ekonomi pertanian dan perikanan itu adalah bagi memfokuskan program pembasmian kemiskinan,pengurangan keciciran pendidikan dan meningkatkan kemudahan kesihatan.

Paling utama katanya,program tersebut dilihat mampu merapatkan jurang kemudahan antara desa dan bandar agar tiada mana-mana kawasan ketinggalan dalam arus pembangunan negara.

"Program ini juga akan menjadi penanda aras bagi menilai bagaimana dasar kelestarian rakyat yang dibuat oleh kerajaan MADANI mampu sampai ke akar umbi dan dinikmati oleh masyarakat setempat.

"Selain menyuntik budaya rasa memiliki dan bangga dalam kalangan pemimpin terhadap kampung sendiri. Saya juga berharap program ini menjadi batu loncatan untuk Kampung Balik Batu melonjakkan taraf sosioekonomi dan kesihatan yang lebih dinamik," katanya. -BERNAMA