Foto hiasan/Foto RTM
KUALA LUMPUR,26 Jun- Ringgit dijangka lebih mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku akhir 2024,kata Timbalan Menteri Kewangan,Lim Hui Ying
Jelasnya,keadaan tersebut didorong prestasi ringgit di landasan baik berbanding beberapa bulan lepas dengan mengambil kira prestasi ekonomi serta pelaburan yang diraih negara.
Tambah Hui Ying,ringgit juga merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh sebanyak 1.4 peratus berbanding dolar AS sejak 26 Februari 2024.
"Prestasi nilai ringgit mengatasi kesemua mata wang negara serantau dan merupakan satu-satunya mata wang serantau yang mengukuh (+1.4%) berbanding dolar AS sejak 26 Februari 2024.
"Mata wang serantau seperti Rupee India (-0.8%),Dolar Singapura (-0.8%),Renminbi China (-0.9%),Baht Thailand (-1.8%),Dolar Taiwan (-2.4%),Won Korea (-3.9%),Peso Filipina (-4.9%),Rupiah Indonesia (-5.1%) dan Yen Jepun (-5.3%) telah mengalami penyusutan nilai berbanding dolar AS",katanya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Gudang,Hassan Abdul Karim mengenai prestasi ringgit berbanding dolar AS,di Dewan Rakyat,hari ini.
Ujarnya,pergerakan ringgit turut dipengaruhi oleh pelbagai faktor global dan domestik yang merangkumi harga komoditi,sentimen pasaran kewangan dan unjuran pertumbuhan ekonomi.