Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR,26 Jun- Kerajaan beri jaminan tidak akan kompromi dengan sebarang aspek keselamatan melibatkan kemasukan warga asing ke negara ini.
Meskipun,Pelan Liberalisasi Visa ditawarkan kepada pelancong untuk berkunjung ke Malaysia,namun mereka perlu mematuhi syarat yang ditetapkan.
Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata,antara syarat yang digariskan,pelancong perlu mengisi Kad Ketibaan Digital Malaysia (MDAC),sebaik tiba di negara ini.
"Sementara kita hendak orang masuk,kita tidak akan kompromi isu keselamatan,misalnya sekarang ini kalau mereka hendak masuk,mereka wajib isi 'Malaysia Digital Arrival Card (MDAC)'. Daripada itu,kita tahu dia tinggal di mana dan alamat di mana jika berlaku terlebih tingal,kita akan segera cari dia di tempat itu.
"Kita akan ketatkan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk. Ini kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM),Malaysia Checkpoints and Border Agency (MCBA),agensi baru kita,peranan Imigresen,RELA dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
"Kita juga kenal pasti di negara kita,224 lokasi hotspotlokasi warga asing berada,kita telah profil lama,puluhan tahun. Jadi kita ada keupayaan untuk profil kawasan hotspot yang ramai diduduki oleh warga asing",katanya dalam sesi Dewan Rakyat.
Beliau turut memaklumkan seramai 20,207 warga asing yang tidak mempunyai dokumen sah dihantar pulang ke negara asal masing-masing,antara Januari hingga Jun tahun ini.
Penghantaran pulang itu dibuat susulan 7,975 operasi dan pemeriksaan yang dijalankan ke atas 76,477 warga asing.
Sementara itu,seramai 79,231 warga asing telah menyerah diri menerusi Program Repatriasi Migran dan daripada jumlah itu seramai 68,900 telah dihantar pulang.
Saifuddin berkata,mereka yang ditahan perlu membayar kompaun dan sehingga kini hampir RM40,000 kompaun dikumpul menerusi program tersebut.
"Minta dia serah diri,kita panggil Repatriasi Penghantaran Pulang,sila lapor kepada Imigresen. Kemudian kita kompaun di bawah Perkara 15(1)C Akta Imigresen Perkara 15(4),ini tentang kompaun.
"Sebelum hantar balik,kita suruh mereka bayar kompaun dan kita kutip kompaun hampir RM40,000,empat negara paling ramai serah diri iaitu Indonesia,Bangladesh,India dan Pakistan",katanya.
Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Puteh,Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi.