Sebuah lori terbabas masuk ke dalam lubang akibat mendapan tanah di Seksyen 102,Laluan Persekutuan FT12,Kuantan–Segamat
PEKAN,20 Jun- Seorang lelaki maut selepas lori dipandunya terbabas masuk ke dalam lubang akibat mendapan tanah di Seksyen 102,Kuantan–Segamat,Pekan.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria dalam satu kenyataan berkata,tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Chini segera ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.53 malam tadi.
"Sebuah lori didapati telah terjunam ke dalam lubang dan pemandunya tersepit di dalam lori.
"Pasukan Bomba membuat operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan alat penyelamatan," katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Berdasarkan rekod,pada 7 Januari lalu berlaku mendapan tanah akibat banjir di laluan tersebut.
Bagaimanapun jambatan Bailey telah dibina di laluan itu sebagai penghubung jalan terputus dan dibuka kepada kenderaan ringan tidak melebihi had muatan 20 tan.