BERITA PERNIAGAAN

Belanda sekat import Israel atas faktor undang-undang antarabangsa

Sep 29, 2026 IDOPRESS

Foto AFP

THE HAGUE,29 September– Belanda menyatakan kekesalan terhadap keputusan Israel menarik balik akreditasi diplomatnya yang berpangkalan di Tebing Barat,susulan tindakan Amsterdam melarang import produk dari penempatan Israel di wilayah berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI

−

Menteri Luar Israel,Gideon Saar,berkata negara yang bertindak secara bermusuhan dan berat sebelah terhadap Israel akan kehilangan pengaruh dan kepentingannya di rantau berkenaan.

Beliau turut berkata,jika Belanda mahu terus mewakili kepentingannya berkaitan rakyat Palestin,ia boleh berbuat demikian dari wilayah yang ditadbir Pihak Berkuasa Palestin dan bukannya dari wilayah yang dikawal Israel.

Israel menguasai pintu masuk ke Tebing Barat dan mempunyai kuasa terhadap akreditasi diplomat di wilayah Palestin berdasarkan pengaturan yang dipersetujui menerusi Perjanjian Oslo pada 1990-an.

Pihak Berkuasa Palestin mengecam tindakan Israel itu,dengan menyifatkannya sebagai usaha mengehadkan kehadiran antarabangsa dan diplomatik di Palestin.

Ketegangan antara Israel dan negara-negara Barat meningkat susulan isu penempatan Israel di Tebing Barat.

Belanda mengenakan sekatan import berkenaan pada Julai ketika serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin semakin meningkat serta terdapat gesaan dalam kalangan ahli politik Israel untuk mengilhakkan wilayah terbabit.

Britain,Perancis dan Kanada turut mengumumkan pada awal September bahawa mereka akan mengenakan sekatan terhadap perdagangan dari penempatan Israel. Israel kemudian bertindak menutup konsulat Britain di Baitulmaqdis.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata peneroka ekstremis bertanggungjawab terhadap purata enam serangan sehari ke atas rakyat Palestin dan harta benda mereka di Tebing Barat sepanjang 2026.

Pada masa sama,rakyat Palestin turut melancarkan serangan terhadap warga Israel,termasuk insiden tembakan yang mengorbankan seorang peneroka minggu lalu dan serangan merempuh kenderaan yang menyebabkan anak lelaki Duta Israel ke Washington,yang merupakan anggota tentera,cedera parah.-AFP