
Foto FB Dr Zulkifli Hasan
PUTRAJAYA,11 September – Legasi tokoh ulama terkenal Imam Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi,khususnya dalam memperjuangkan pendekatan wasatiyyah,perpaduan dan keadilan,kekal relevan buat Malaysia ketika negara memperingati 100 tahun kelahiran tokoh berkenaan.
RINGKASAN BERITA AI
−
Beliau berkata antara yang penting adalah pada April 2013 apabila Allahyarham Tok Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat,yang rapat dengan Anwar melancarkan kempen risalah mengandungi surat-surat sokongan terbuka daripada al-Qaradawi terhadap Anwar,yang ketika itu Ketua Pembangkang,sebagai calon Perdana Menteri Malaysia.
“Dalam surat itu,al-Qaradawi menyeru pemimpin pembangkang Malaysia supaya bersatu dan bermesyuarat bagi mengelakkan perpecahan,selain mengiktiraf kewibawaan,pengalaman serta sokongan rakyat pelbagai kaum terhadap Anwar yang dinilainya layak memimpin dan menerajui pentadbiran negara.
“Pada Oktober 2014,al-Qaradawi turut menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dan memelihara nilai demokrasi demi membina sebuah negara Islam yang maju dan wasatiy. Beliau juga pada masa sama menyeru supaya Anwar tidak terus dizalimi dan difitnah,” katanya.

Foto FB Dr Zulkifli Hasan
Hubungan akrab dan kepercayaan antara kedua-dua tokoh itu diteruskan menerusi warkah khas al-Qaradawi pada Mei 2018 yang diterjemahkan oleh Allahyarham Ustaz Datuk Dr Siddiq Fadzil.
Zulkifli berkata warkah berkenaan menyifatkan ketabahan serta jiwa besar Anwar dalam meleraikan sengketa politik demi mengutamakan maslahat rakyat dan tanah air.
“Pesan dan pandangan al-Qaradawi turut merangkumi kepentingan institusi kehakiman dalam memelihara kebenaran serta keperluan membina model pentadbiran Islam yang kontemporari,inklusif dan realistik,” katanya.
Menurut Zulkifli,pendekatan itu penting bagi membentengi kepentingan ummah dalam mendepani cabaran zaman.
Al-Qaradawi juga menekankan kepentingan perpaduan dengan menyeru semua pihak mengelakkan pertelagahan yang merugikan,sebaliknya mengukuhkan barisan dan binaan yang tersusun kukuh demi keharmonian Malaysia.
Beliau konsisten menitipkan pesan agar risalah Islam terus dipertahankan ke arah kedamaian dan keadilan,di samping menolak sikap melampau.
Al-Qaradawi turut menegaskan keperluan dakwah diperkasakan bagi mendalami kefahaman Islam serta menolak fanatisme kelompok (asabiyah) yang angkuh dan jumud.
Zulkifli berkata pesanan itu kekal relevan kepada seluruh rakyat Malaysia,terutama dalam mengukuhkan perpaduan serta memastikan pendekatan Islam terus berteraskan kebenaran,kesederhanaan dan keadilan.
Al-Qaradawi meninggal dunia pada 2022 pada usia 96 tahun,meninggalkan lebih 100 jilid karya keilmuan serta warisan pemikiran yang terus menjadi rujukan dalam wacana Islam moden. – BERNAMA