BERITA PERNIAGAAN

Surat tawaran haji kepada 31,600 bakal jemaah dikeluarkan mulai 21 Sept

Sep 9, 2026 IDOPRESS

Foto Lembaga Tabung Haji

KUALA LUMPUR,9 Sept – Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan surat tawaran haji secara berperingkat kepada 31,600 bakal jemaah bagi musim 1448H/2027M bermula 21 Sept ini.

RINGKASAN BERITA AI

−

Bagi musim haji 1448H/2027M,TH mengekalkan Kos Haji pada kadar RM33,300 seorang serta kadar Bayaran Haji bagi jemaah Muassasah untuk tahun keempat berturut-turut meskipun berdepan tekanan inflasi,ketidaktentuan ekonomi global serta peningkatan kos perkhidmatan di Tanah Suci.

Selain itu,TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar membabitkan peruntukan kira-kira RM234 juta bagi musim ini,menjadikan jumlah kumulatif ditanggung TH sejak HAFIS diperkenalkan pada 2001 telah mencecah lebih RM2.8 bilion.

Bagi jemaah kumpulan B40 penerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR),kadar Bayaran Haji ditetapkan sebanyak RM15,000 (45 peratus daripada Kos Haji) selepas mengambil kira HAFIS sebanyak RM17,300 serta bantuan khas kerajaan RM1,000 seorang.

Bakal jemaah M40 pula dikenakan bayaran sebanyak RM23,500 dengan tajaan HAFIS RM9,800 (29 peratus),manakala jemaah T20 berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan perlu menjelaskan Kos Haji penuh iaitu RM33,300 seorang.

Sementara itu,Pengerusi TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata kejayaan mengekalkan struktur kos dan menyediakan HAFIS dicapai hasil tadbir urus cekap,perancangan awal,rundingan strategik serta pemeteraian kontrak jangka panjang dengan penyedia perkhidmatan.

Katanya,keupayaan TH mengekalkan struktur kos itu,menyediakan HAFIS dan pada masa sama mempertingkatkan kualiti perkhidmatan didorong oleh kedudukan kewangan institusi yang semakin kukuh.

Beliau berkata kedudukan itu dicapai menerusi pengurusan kewangan berdisiplin,pengurusan risiko yang dipertingkatkan serta penambahbaikan amalan tadbir urus secara berterusan.

Mengenai kuota rasmi,Abdul Rasid berkata pengesahan awal berkenaan memberi ruang seluasnya kepada bakal jemaah merancang persediaan kewangan,kesihatan dan kefahaman ilmu mengikut konsep istito’ah (kemampuan).

Sementara itu,Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad berkata hampir 90 peratus daripada Kos Haji adalah berkaitan penginapan,penerbangan,dan perkhidmatan di Tanah Suci.

“TH berjaya mengekalkan kos haji dengan mengekang kenaikan kos penerbangan melalui kontrak jangka panjang selama lima tahun bagi mengawal risiko ketidaktentuan harga demi kepentingan jemaah. Cabaran besar kini adalah peningkatan harga dan kos pembekalan minyak susulan konflik Timur Tengah,” katanya.

Katanya TH juga dapat menurunkan kos penyewaan hotel baharu yang lebih berkualiti melalui rundingan terus sekali gus berjaya mengekang kesan peningkatan inflasi dan kos perkhidmatan atau kemudahan baharu di Tanah Suci.

“Pencapaian ini penting bagi TH kerana ia bukan sekadar soal mengekalkan angka,tetapi bagaimana kita merancang lebih awal,mengurus risiko dan menggunakan kecekapan operasi TH untuk memberikan nilai terbaik kepada jemaah,” katanya.- BERNAMA