
Robot AI menunjukkan kemahiran mengambil gambar menggunakan kamera/ REUTERS
SHANGHAI,17 Julai – Robot pintar mempamerkan keupayaan berteknologi tingi pada Persidangan Kecerdasan Buatan Dunia (WAIC) 2026 di sini,sekali gus mencerminkan kemajuan pesat inovasi kecerdasan buatan (AI) yang dijangka bersedia untuk digunakan secara meluas dalam sektor komersial.
RINGKASAN BERITA AI
−
Jurutera JAKA Robotics,Zeng Lingwei berkata,robot berkenaan dilengkapi sistem kawalan daya serta pelbagai penderia termasuk sistem penglihatan bagi memastikan ketepatan operasi.
“Kami mengintegrasikan kawalan daya dan penderia pelbagai mod termasuk sistem penglihatan ke dalam kedua-dua robot ini. Ia membolehkan ketepatan operasi dicapai dengan margin ralat hanya 0.5 milimeter,” katanya.
Selain robot industri,robot yang direka untuk kegunaan pengguna turut mencuri perhatian menerusi fungsi interaktif dan kreatif.
Jurutera penghantaran Qiyuan Robotics,Li Wenzhuo memperkenalkan Qiyuan T1,yang didakwa sebagai robot peribadi boleh berubah bentuk pertama di dunia.
Menerusi arahan suara,robot itu bertukar kepada bentuk menyerupai seekor anjing,sekali gus menunjukkan keupayaan interaksi lebih semula jadi dengan pengguna.
Teknologi AI berjasad (embodied AI) turut diperlihatkan dalam penyelenggaraan infrastruktur berisiko tinggi menerusi robot khas yang direka untuk bekerja pada ketinggian.
Robot tersebut bergerak di sepanjang talian penghantaran elektrik simulasi bagi melakukan kerja membaiki pin,yang sebelum ini memerlukan beberapa pekerja memanjat menara elektrik serta menjalankan operasi pada talian berkuasa.
Pakar teknikal Pusat Penyelidikan AI China Southern Power Grid Digital Group,Zhang Letian berkata,sistem robot itu dibangunkan menggunakan lebih 10,000 set data hasil operasi pembaikan pin.
“Tahun lalu,hampir 1,500 kerosakan pin dikesan di lebih 10,000 kilometer rangkaian bekalan elektrik. Kerja ini berisiko tinggi kerana melibatkan ketinggian dan talian elektrik hidup.
“Model AI pelbagai mod membolehkan robot merancang setiap langkah secara automatik dan melaksanakan tugas dengan tepat,” katanya.
Bertemakan ‘Perkongsian AI untuk Masa Depan yang Lebih Gemilang’,WAIC 2026 berlangsung sehingga 20 Julai dengan menghimpunkan lebih 1,400 peserta dari dalam dan luar negara menerusi lebih 140 forum.
Buat julung kalinya,keluasan ruang pameran persidangan itu melebihi 100,000 meter persegi,dengan penyertaan lebih 1,100 syarikat yang mempamerkan inovasi terkini dalam bidang kecerdasan buatan.- REUTERS.