10 kluster influenza dilaporkan di Negeri Sembilan

Oct 15, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Besar,Datuk Seri Aminuddin Harun dalam sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Seremban./RTM

SEREMBAN,15 Oktober – Sebanyak 10 kluster influenza dan Influenza-Like-Illness (ILI) dilaporkan di Negeri Sembilan setakat minggu ini,meningkat berbanding empat kluster pada minggu sebelumnya.

Menteri Besar,Datuk Seri Aminuddin Harun,berkata peningkatan itu membabitkan 299 kes,berbanding 154 kes yang dicatatkan pada minggu lalu.

Katanya,daripada jumlah tersebut,tujuh kluster dilaporkan di daerah Seremban,manakala masing-masing satu kluster di Jelebu dan Rembau.

Sebanyak sembilan daripada keseluruhan kluster itu dikesan di sekolah bawah Kementerian Pendidikan,manakala satu lagi di sebuah tadika swasta.

“Alhamdulillah,situasi masih terkawal. Saya berharap ketika cuti panjang ini,ibu bapa dapat memantau anak-anak supaya tidak mudah dijangkiti. Apabila sekolah dibuka semula nanti,kita harap mereka kembali dalam keadaan sihat.

“Bagi anak yang tidak sihat,saya nasihatkan agar ibu bapa membenarkan mereka berehat di rumah supaya penyakit ini tidak terus merebak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Mingguan Kerajaan Negeri di Seremban,hari ini.

Dalam perkembangan lain,Aminuddin memaklumkan sebanyak 46 kes denggi dilaporkan minggu ini,menurun sedikit berbanding 49 kes pada minggu sebelumnya.