40,000 keluarga India di Johor terima bakul makanan sempena Deepavali

Oct 13, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Menteri Besar Johor,Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir pada Majlis Perasmian Karnival Deepavali Bangsa Johor di Little India Johor Bahru / Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU,12 Oktober - Kira-kira 40,000 keluarga masyarakat India di Johor bakal menerima sumbangan bakul makanan sempena Deepavali.

Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata,inisiatif bernilai kira-kira 4.9 juta ringgit itu,julung kali dilaksanakan sebagai tanda penghargaan dan kasih sayang kerajaan negeri terhadap komuniti berkenaan.

"Setiap masyarakat India di negeri Johor,setiap keluarga India akan mendapat bakul makanan sempena Deepavali pada tahun ini. Ini pertama kali kita laksanakan sebagai tanda kasih sayang kerajaan negeri kepada masyarakat India," katanya ketika berucap merasmikan Karnival Bazaar Deepavali Bangsa Johor di Little India di sini,malam ini.

Sementara itu,Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan,Warisan dan Budaya Negeri,K. Raven Kumar berkata,bakul makanan itu,akan diagihkan kepada keluarga India berpendapatan rendah di seluruh Johor.

"Setiap bakul mengandungi barangan keperluan asas seperti beras,minyak masak,tepung,sardin serta rempah kari khas bagi memenuhi keperluan perayaan," ujarnya.

Pengagihan bakul makanan dianggarkan bernilai RM100 setiap satu itu dibuat menerusi 56 pusat khidmat Dewan Negeri,dengan pengagihan dijangka selesai sepenuhnya minggu ini.