Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
PUTRAJAYA,10 Julai -Karya sastera perlu diberi pengiktirafan sewajarnya kerana berpotensi memberi impak yang meluas kepada masyarakat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata,peranan sasterawan juga wajar dimasyarakatkan sebaiknya memandangkan mereka mempunyai keupayaan dalam mengangkat idealisme dan menyuarakan aspirasi rakyat menerusi karya penulisan.
"Apabila penglibatan sasterawan menulis tentang idealisme perjuangan dan membawa suara rakyat,jadi inilah peranan yang harus di masyarakatkan dan saya fikir kita bukan sahaja melihat bahawa hari ini kita raikan karya-karya itu tetapi bagaimana karya-karya ini harus dimanfaatkan dalam masyarakat.
"Karya itu bukan sahaja karya biasa tetapi juga sebahagian besarnya adalah karya-karya yang memberikan kesan langsung berdasarkan apa yang mereka tulis kaji dan juga memberikan pengalaman ketika mereka bersama dengan rakyat," katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022,di sini.
Majlis anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),Dr Hazami Jahari.
Fadhlina juga mahu penggunaan teknologi digital sebagai medium menyampaikan karya sastera dimanfaatkan selari dengan perkembangan semasa.
HSPM 2021/2022 menerima sebanyak 3,555 penyertaan dan dilihat sebagai pengiktirafan kepada karya sastera bermutu tinggi dalam pelbagai genre seperti puisi,cerpen,drama,esei dan novel.