BERITA PERNIAGAAN

Lebih 30,000 guru jayakan operasi hari pertama persekolahan di Kedah

Feb 17, 2025 IDOPRESS
Berita RTM (televisyen ini dikenali sebagai RTM News dan BES) ialah saluran televisyen percuma Malaysia yang dikendalikan oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Foto Hiasan

SUNGAI PETANI,16 Februari - Hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Kedah hari ini dijayakan dengan kerjasama 30,011 guru dan 4,320 Anggota Kumpulan Perlaksana (AKP).

Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata pelbagai aktiviti telah disusun oleh pihak sekolah pada minggu pertama persekolahan yang menekankan kepada aspek pemerkasaan silaturahim dalam kalangan warga sekolah.

"Operasi hari ini berjalan lancar,Alhamdulillah dan bagi minggu pertama konsepnya kita tidak ada sesi pengajaran dan pembelajaran,nak bagi ruang dan peluang untuk murid serta guru melaksanakan minggu silaturahim.

"Tujuannya untuk kita mewujudkan persekitaran sekolah yang penuh dengan kasih sayang dan menarik minat pelajar ke sekolah," katanya kepada pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakar Arang di sini hari ini.

Ismail berkata konsep Murid Ceria,Guru Bahagia,Sekolah Sejahtera dan Negara Sejahtera ditekankan bagi memastikan warga sekolah dapat menjalani rutin harian dalam keadaan yang selesa dan harmoni.

"Aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan juga bertujuan untuk memberi kesan dan impak dari segi sosial,emosi,serta semangat murid-murid untuk datang ke sekolah dan minat belajar," katanya.

Ismail berkata 349,966 pelajar membabitkan 548 sekolah rendah dan 204 sekolah menengah di seluruh Kedah memulakan sesi persekolahan hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah itu 200,575 adalah murid sekolah rendah dan 149,392 pelajar sekolah menengah. - BERNAMA