Bidang UX semakin berkembang pesat di seluruh dunia dan UX boleh dimanfaatkan industri-industri di Malaysia bagi menerapkan UX dalam penghasilan produk yang menepati kehendak pasaran serta pengguna/Foto UUM
SINTOK,23 Julai – Bidang Pengalaman Pengguna atau User Experience (UX) yang sedang berkembang pesat di seluruh dunia,perlu diterapkan dalam setiap proses reka bentuk termasuk produk industri di negara ini.
Profesor dan Penyelidik Multimedia,Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC),Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib berkata,UX membolehkan jurureka memahami dengan mendalam keperluan dan kehendak pengguna yang seterusnya dapat membantu mereka menghasilkan sesuatu produk yang tepat.
“Secara mudah untuk menjelaskan UX adalah,pengguna diberi sembilan jenis pen berbeza saiz. Dari sudut UX,akan terdapat 9 pandangan berbeza berkaitan penggunaan pen tersebut. Ada pengguna yang selesa menggunakan jenis-jenis pen tertentu hanya untuk menandatangani dokumen. Ada jenis pen lain yang sangat sesuai untuk penulisan yang panjang seperti menjawab peperiksaan kerana bentuk pen yang selesa dipegang oleh pengguna dan sebagainya. Dengan memahami UX ini,penghasilan produk dapat menepati keperluan pengguna,” jelas Prof. Ariffin.
UX juga sangat diperlukan di dalam bidang reka bentuk antara muka atau 'interface' pengkomputeran dalam menghasilkan produk interaktif yang menepati keperluan pengguna sasaran.
“Pengalaman Pengguna terbentuk melalui interaksi mereka dengan produk interaktif. Jadi,UX adalah lanjutan dari bidang reka bentuk interaksi,reka bentuk visual,seni bina maklumat,strategi kandungan,kebolehgunaan dan kajian pengguna. Orang ramai sering mengaitkan UX dengan reka bentuk sistem komputer. Namun,ilmu UX sebenarnya boleh digunapakai dalam mana-mana proses reka bentuk termasuk penghasilan produk industri. Oleh itu,setiap jurureka bentuk perlu mengutamakan UX dalam proses reka bentuk produk kerana mereka dapat memahami pengguna dan konteks penggunaan dengan jelas dan tepat,” katanya.
Menurutnya lagi,terma UX dipopularkan oleh Pakar UX,Don Norman ketika bertugas di syarikat Apple Computers pada tahun 1995 dan beliau menghasilkan buku-buku tentang pentingnya UX dalam reka bentuk peralatan kegunaan harian.
“Di Malaysia,kesedaran mengenai kepentingan UX mula meningkat seiring dengan perkembangan interaksi pengguna dengan gajet dan kandungan digital. Satu pertubuhan dinamakan MyHCI-UX ditubuhkan pada 2017 bagi meningkatkan kesedaran mengenai Interaksi Manusia Komputer (HCI) dan UX di negara ini. Penganjuran bengkel dan persidangan aktif dilakukan yang bertujuan menarik minat lebih ramai pengamal industri dan pelajar menyertai MyHCI-UX. Diharapkan,usaha itu dapat menarik perhatian kerajaan yang seterusnya menjadikan UX ini satu agenda industri yang penting dalam penghasilan pelbagai produk terutama interaktif,” jelas Prof. Ariffin lagi.
Katanya lagi,reka bentuk aplikasi interaktif dengan terapan UX bukan proses sehala tetapi memerlukan proses reka bentuk dan pembangunan yang kompleks.
Ia memerlukan kombinasi pasukan terdiri daripada pelbagai tenaga pakar berkemahiran,manakala pembangunan memerlukan sumber data,kaedah,teori dan analisa data yang digembleng menggunakan konsep triangulasi.
Proses triangulasi ini kemudian diterap di dalam proses reka bentuk menggunakan Kaedah Penyelidikan Sains Reka Bentuk (DSRM) yang merupakan kaedah sistematik yang membahagikan kesemua proses kepada lima fasa iaitu pencerahan ruang masalah,cadangan,reka bentuk dan pembangunan,pembangunan prototaip dan pengujian.
“Saya telah mengadaptasi DSRM bagi menghasilkan kandungan pembelajaran yang menyeronokkan dan menghiburkan dikenali sebagai Reality Learning Media (RLM) pada tahun 2007 hingga 2009 ketika Youtube belum popular dalam kalangan masyarakat di negara ini. Seterusnya,saya bersama pasukan penyelidik saya menghasilkan model interaksi untuk pembelajaran pengguna kurang pendengaran dinamakan sebagai Assistive Courseware for Hearing-Impaired (AC4HI) diikuti dengan pembangunan alat bantu menangani tekanan mengunakan realiti maya (VR),kajian pembangunan model reka bentuk bagi kanak-kanak rabun teruk (AC4LV),kanak-kanak bermasalah pembelajaran (ICAL4LA),kajian pembangunan model reka bentuk Realiti Maya Imersif (IVR) dengan meminima kesan cybersickness (IVRS4CROSE) dan kajian aplikasi mutawwif digital peribadi (PDM). Kesemua kajian berpusat kepada golongan pengguna sasar dan konteks pengunaan yang berbeza. Bagi menyokong pengalaman pengguna,strategi reka bentuk antara muka diformulasi secara khusus dalam DSRM,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Pengukuhan Profesor bertajuk “Pengalaman Pengguna Dalam Reka Bentuk Interaktif” di Dewan Seminar SMMTC,Universiti Utara Malaysia (UUM) hari ini.
Syarahan tersebut merupakan satu wacana akademik yang dilaksanakan setiap profesor bagi memberi pencerahan kepada umum tentang kepakaran mereka serta berkongsi pengalaman melakukan penyelidikan serta kajian sehingga dilantik sebagai profesor universiti termasuk aspek menyebarluaskan penemuan inovatif penyelidikan mereka untuk pembangunan komuniti.