Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat,hari ini.
KUALA LUMPUR,9 Julai- Hasrat Malaysia untuk menyertai organisasi antara kerajaan,BRICS (Brazil,Rusia,India,China dan Afrika Selatan) bukan untuk mencampuri urusan domestik atau politik negara terlibat,kata Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sebaliknya,beliau berkata Malaysia memberi tumpuan khusus kepada isu perdagangan,pelaburan dan ekonomi semasa serta perluasan jaringan yang dapat memberikan manfaat kepada negara dan rakyat.
Anwar berkata dalam hubungan Malaysia dengan negara luar termasuk negara barat serta yang terlibat dalam Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC),Malaysia tidak sepenuhnya bersetuju dalam semua hal.
"Malah,ada pertentangan dan perbezaan besar kita dalam isu Gaza umpamanya,isu negara berkembang,isu persaingan perdagangan dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO),tapi itu tak menyebabkan kita harus memutuskan perhubungan terutama bila keutamaan itu adalah perdagangan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat,hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Sri Aman,Datuk Sri Doris Sophia Anak Brodi mengenai implikasi penyertaan Malaysia dalam BRICS.
Ujarnya,Malaysia mengambil pendirian untuk menjalin hubungan baik dengan semua pihak,selain tidak bergantung kepada satu negara besar semata-mata.
Perdana Menteri turut berkata dalam soal BRICS,negara seperti China dan Rusia menjalin hubungan dan kerjasama yang rapat dengan Malaysia walaupun kedua-duanya mempunyai sistem negara yang berbeza dengan negara ini.
“Ada juga negara-negara yang dalam BRICS termasuk Afrika Selatan atau India yang mengamalkan sistem demokrasi yang lebih dekat dengan kita dan ini juga tidak menghalang hubungan mereka dengan kita dalam BRICS.
“Di samping itu,negara seperti UAE (Emiriyah Arab Bersatu),India dan Afrika Selatan itu juga mempunyai hubungan dagang yang baik,dan kerjasama ekonomi umpamanya dengan Eropah,Amerika Syarikat dengan negara yang tidak bersama dalam BRICS,” katanya.
Selain itu,Anwar berkata kerajaan juga telah mengkaji dan meneliti kemungkinan implikasi Malaysia menyertai BRICS.
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama untuk ekonomi yang sedang pesat membangun merangkumi Brazil,India dan China dengan Afrika Selatan menyertai kumpulan itu pada 2010.
Pada Januari 2024 pula,Iran,Mesir,Ethiopia,dan UAE menyertai organisasi itu sebagai ahli baharu.