Datuk Seri Saarani pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bangunan Perak Darul Ridzuan,di sini,hari ini.
IPOH,9 Julai- Beberapa pendekatan diambil kerajaan Perak dalam unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) bagi tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.
Menteri Besar,Datuk Seri Saarani Mohamad berkata,pihaknya komited untuk memperkasa industri mineral di negeri itu menerusi agenda Perlombongan Bertanggungjawab di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Jelasnya,antara langkah diambil merangkumi pembangunan rantaian ekonomi menyeluruh; kerjasama antarabangsa dan pemindahan teknologi; pelaburan asing dan pembangunan industri serta penekanan kepada aspek kemampanan dalam merancang pembangunan NR-REE.
"Kerajaan negeri juga akan meningkatkan pelaburan dalam R&D termasuk kerjasama dengan institut pengajian tinggi dan pusat penyelidikan untuk mengkaji penggunaan teknologi baharu dalam pengekstrakan dan pemprosesan nadir bumi serta meningkatkan kecekapan dalam pemprosesan dan pengekstrakan," katanya.
Ujarnya,kerajaan negeri juga telah mengambil langkah proaktif dan strategik untuk memposisikan Perak sebagai pemimpin dalam industri NR-REE.
Katanya ia menerusi projek perintis perlombongan yang dilaksanakan di daerah Hulu Perak; mengenal pasti kepakaran tempatan; penubuhan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan serta pembangunan Makmal Analisis Mineral di Gopeng.
"Makmal Analisis Mineral iaitu Terra Mineral Lab (TML) yang akan memberi nilai tambah kepada industri perlombongan NR-REE akan memulakan operasi pada September tahun ini.
"Kerajaan negeri telah mewujudkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan yang menggabungkan kepakaran tempatan dan antarabangsa seperti Perbadanan Menteri Besar Perak (MBInc),Institut Darul Ridzuan (IDR),Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Pusat Kecemerlangan Pendidikan ini bertujuan memastikan penyelidikan yang dijalankan adalah relevan dengan keperluan industri untuk penyelidikan,inovasi,dan pembangunan teknologi berkaitan nadir bumi," katanya.
Saarani berkata demikian bagi menjawab soalan ADUN Buntong,M. Thulsi Thivani pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di bangunan Perak Darul Ridzuan,hari ini.