Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima skrol sajak teater dari Presiden PLG Datuk Abdullah Ghani Kassim (kanan) pada Perasmian Penubuhan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia (PLG) di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC)
IPOH,7 Julai - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan gerakan belia di negara ini diseru supaya menyahut seruan kerajaan bagi menolak rasuah,salah guna kuasa dan penindasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Rasulullah SAW suatu masa dahulu bersama kekuatan keyakinan,akidah,akhlak dan nilai,mempertahankan hak serta keadilan dengan menolak penyelewengan,kezaliman serta rasuah dalam kalangan masyarakat.
Beliau berkata sekiranya sifat itu diamalkan oleh masyarakat dengan mendalami pengertian hijrah di samping “bangun” daripada kemalasan untuk mengangkat martabat diri,negara pasti akan membangun dengan maju.
"Hijrah itu ertinya meninggalkan amalan lapuk dan syirik,amalan kezaliman,penindasan,fitnah yang berlaku berleluasa,maka baru kita berubah dan saya percaya Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia ini akan membawa semangat yang sama,kita akan selamatkan bangsa dan umat kita.
"Saya kebetulan generasi lama,tetapi dalam soal mempertahankan hak,kedaulatan,saya tidak peduli … lawan tetap lawan," katanya ketika berucap pada Perasmian Penubuhan Pertubuhan Lima Generasi Malaysia (PLG) di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC),di sini.