FOTO RTM
KUANTAN,7 Julai - Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur di Dataran Sayangi Kuantan melabuhkan tirainya hari ini,mencatatkan jumlah pengunjung melebihi 336,000 orang sepanjang tiga hari penganjurannya,bermula Jumaat lalu di Dataran Sayangi Kuantan.
Jumlah itu meningkat berbanding siri pertama PMR Zon Tengah di Kuala Selangor pada Februari lalu yang merekodkan 151,638 orang pengunjung manakala lebih 289,228 pengunjung hadir pada siri kedua PMR Zon Utara di Pulau Pinang pada bulan Mei.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selaku kementerian peneraju bagi siri PMR kali ini mengetengahkan elemen pembangunan usahawan desa dan padanan perniagaan sebagai platform dan peluang bagi usahawan memasar,menjual dan memperkenalkan produk mereka kepada warga Zon Timur.
Manakala,nilai transaksi jualan secara tunai dan padanan perniagaan yang direkodkan sejak hari pertama hingga pukul 12 tengah hari ini telah mencatat sebanyak RM1.57 juta.
Penganjuran program itu turut mencapai matlamatnya dalam menyebarkan maklumat setiap dasar,inisiatif dan perkhidmatan kerajaan kepada penduduk di Pahang,Terengganu dan Kelantan.
Penganjuran siri ketiga Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Timur bermula 9.00 pagi hingga 10.00 malam itu,menghimpunkan 188 perkhidmatan Kerajaan Persekutuan,negeri dan agensi berkaitan dengan pelbagai program serta aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung.
Antara menjadi tumpuan ramai adalah pemberian diskaun kompaun saman trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan penukaran topi keledar lama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),dan Jualan Rahmah.
Selain itu,penganjuran karnival kerjaya turut mendapat sambutan,terutamanya golongan muda berusia 18 hingga 25 tahun yang ingin mengisi kekosongan 2,000 jawatan yang ditawarkan.
Program MADANI Rakyat akan diteruskan ke Zon Selatan di Johor pada 25 hingga 27 Julai,diikuti Sarawak 27 hingga 29 September dan berakhir di Sabah pada 18 hingga 20 Oktober.