Majikan dan pekerja perlu peka dengan perubahan cuaca agar mampu melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko yang boleh menyebabkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja / Foto Hiasan
KUALA LUMPUR,2 Julai – Majikan dan pekerja perlu peka dengan perubahan cuaca yang melanda negara agar mampu melaksanakan langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko yang boleh menyebabkan kemalangan dan penyakit di tempat kerja.
Naib Pengerusi,Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH),Manivanan Gowin berkata majikan perlu melaksanakan langkah-langkah pencegahan secara komprehensif untuk menangani risiko perubahan cuaca,manakala pekerja harus proaktif dalam melindungi diri mereka daripada kemalangan dan penyakit yang mudah menular apabila cuaca menjadi terlalu panas atau hujan berterusan.
“Jika sebelum ini para pekerja berhadapan cuaca panas melampau (heatwave) yang boleh menyebabkan tegasan haba (heat stress),kini mereka bakal berhadapan cabaran berlainan apabila fenomena La Nina melanda negara mulai bulan ini (Julai),” katanya menerusi kenyataan.
Manivanan berkata,Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) baru-baru ini memaklumkan fenomena La Nina dijangka membawa keadaan cuaca lebih lembap antara Julai dan September serta lazimnya mencapai kemuncak menjelang akhir tahun dan berterusan pada awal tahun depan.
“Berdasarkan kes-kes sebelum ini,antara risiko yang bakal dihadapi di tempat kerja terbuka adalah hujan lebat yang boleh menyebabkan tanah runtuh dan banjir.
"Pada masa yang sama,kes demam denggi juga lebih kerap dilaporkan apabila banyak air bertakung manakala kawasan yang dilanda banjir berhadapan risiko penyakit seperti taun,kencing tikus (leptospirosis) dan cirit-birit,” katanya.
Sehubungan itu,beliau menyarankan supaya majikan dan pekerja melaksanakan pendekatan pengenalpastian Hazard,Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) yang diamalkan secara meluas dalam pelbagai industri bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini.
“Pada musim hujan misalnya,risiko tambahan seperti tergelincir dan jatuh boleh berlaku. Majikan dan pekerja perlu mengenal pasti dan mengatasi risiko sebegini,seperti memasang lapisan lantai anti-gelincir,memastikan saluran air berfungsi dengan baik dan menyediakan latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) khusus kepada pekerja.
“Proses HIRARC boleh membantu memastikan tempat kerja selamat walaupun dalam keadaan cuaca buruk,” katanya.
Tambah Manivanan,NIOSH turut menawarkan perkhidmatan konsultasi dan mempunyai kepakaran untuk membantu majikan mengenal pasti dan mengurangkan risiko berkaitan cuaca.
Katanya,penyelesaian yang ditawarkan akan disesuaikan untuk setiap tempat kerja bagi memastikan ia selamat dan mematuhi amalan terbaik untuk setiap keadaan cuaca.
“NIOSH juga bersedia memberikan khidmat nasihat dan rundingan untuk para majikan memenuhi tanggungjawab mereka seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 yang dikuatkuasakan mulai 1 Jun lepas," katanya.